PETALING JAYA:  Pemulihan ekonomi negara menyediakan landasan baik kepada pelaburan dan peluang yang akan menjana aktiviti ekonomi, pekerjaan serta pergerakan insan dan barangan yang lebih pantas, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, ini adalah masa yang sesuai untuk pelabur institusi seperti KWSP menggubal strategi perniagaannya bagi keteguhan jangka pendek di samping mengekalkan daya tahan dan pertumbuhan jangka panjang.

“Dari aspek pelaburan, KWSP mengekalkan daya tahan dan fokus terhadap perkara yang boleh dikawal iaitu peruntukan aset, kos dan strategi menyeluruh yang memberi penekanan terhadap kemampanan jangka panjang pelaburan dan pulangan, selaras dengan Alokasi Aset Strategik kami.

“Walaupun ketidaktentuan pasaran global terus menjadi kebimbangan, kami mengambil sikap berwaspada tetapi optimis dengan tidak mengabaikan petunjuk yang mencadangkan penambahbaikan kepada prospek ekonomi makro.

“Ini termasuk kemungkinan kemuncak inflasi global dan jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat bahawa kenaikan kadar faedah akan mula perlahan dalam beberapa bulan akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga negara yang meningkat sebanyak 14.2 peratus berbanding 8.9 peratus pada suku kedua, disusuli dengan lonjakan kukuh dalam pasaran buruh menunjukkan bahawa ekonomi asas telah pulih daripada pandemik, seperti yang dapat dilihat daripada peningkatan positif dalam FBMKLCI sejak September.

Dalam pada itu, KWSP terus mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam pendaftaran ahli baharu sebanyak 510,354 bagi tempoh Januari hingga September 2022, menjadikan jumlah ahli KWSP pada 30 September 2022 sebanyak 15.61 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak 8.26 juta adalah ahli aktif, yang kini mewakili 50 peratus daripada 16.44 juta tenaga kerja Malaysia setakat September 2022.

Pemulihan Malaysia yang stabil dalam keadaan pasaran buruh dan sokongan dasar yang berterusan membantu KWSP merekodkan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif yang lebih baik, iaitu pada 53 peratus:47 peratus pada September 2022, daripada jumlah ahli aktif pada suku ketiga 2022 sebanyak 8.26 juta berbanding jumlah ahli sebanyak 15.61 juta.

Bagi mencapai sasaran perlindungan melebihi 60 peratus tenaga buruh yang aktif menjelang 2025, KWSP telah mempergiatkan program outreach dan libat urus dengan pihak berkepentingan secara proaktif, disokong oleh teknologi digital yang membolehkan ahli mengakses lebih banyak perkhidmatan KWSP seperti pendaftaran dan pengaktifan i-Akaun, i-Saraan, dan Simpanan Shariah. – UTUSAN

The post Pemulihan ekonomi landasan baik kepada pelaburan KWSP appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *