PETALING JAYA: Enggan nasib malang Liga Super berulang dalam Piala Malaysia, Penang FC mengambil tindakan drastik merehatkan ketua jurulatihnya, Datuk Zainal Abidin Hassan dan kembali kepada Manzoor Azwira Abdul Wahid.

Penang FC dalam satu kenyataan semalam berkata, aksi terakhir Liga Super menentang Selangor FC, Sabtu ini menjadi perlawanan pertama Harimau Kumbang di bawah Manzoor Azwira.

Pihak pengurusan juga menawarkan tiket percuma kepada penyokong untuk menonton perlawanan di Stadium Bandaraya.

“Manzoor Azwira akan mengendalikan pasukan Liga Super Penang FC bermula dengan perlawanan menentang Selangor FC pada 15 Oktober sebagai persediaan menghadapi saingan Piala Malaysia.

“Arahan ini diberikan sebagai sokongan pengurusan Penang FC kepada Manzoor Azwira untuk melengkapkan Kursus Kejurulatihan Diploma Pro A pada tahun 2023,” kata kenyataan itu.

Manzoor bukan nama asing buat Penang FC kerana pernah membawa mereka menjulang trofi Liga Perdana 2020.

Zainal Abidin pula dibawa masuk menggantikan Tomas Trucha pada Ogos lalu, untuk membimbing Penang FC buat kali kedua selepas musim 2017-2018.

Skuad Harimau Kumbang kini menghuni tangga tercorot Liga Super dengan hanya mengutip 10 mata daripada 21 perlawanan, iaitu hasil dua kemenangan, empat seri dan 15 kekalahan.

Kali terakhir mereka merasai nikmat  kemenangan adalah ketika mengalahkan Kuala Lumpur City 1-0 pada 24 September lalu. – UTUSAN ONLINE 

The post Penang FC rehatkan Zainal Abidin menjelang Piala Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *