SEREMBAN: Seorang penceramah bebas didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas empat pertuduhan menerima deposit keseluruhan berjumlah RM187,000 tanpa lesen untuk tujuan pelaburan sejak 2019 hingga tahun lalu.

Tertuduh, Muzzamil Soliheen Musa, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norshila Kamaruddin.

Mengikut empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa telah bersetuju menerima deposit antara RM10,000 hingga RM100,000 secara berasingan daripada empat lelaki berusia 45 hingga 49 tahun sebagai suatu pelaburan tanpa lesen yang sah di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Kesalahan itu dilakukan di empat lokasi iaitu di tiga buah kedai makan sekitar Mantin dan Bandar Baru Nilai serta satu lagi di Taman Seri Rambai, Labu di sini, antara 30 Ogos 2019 hingga 7 September 2021.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya yang diwakili oleh Muhammad Zulfikri Mohd. Nasir menawarkan jaminan keseluruhan sebanyak RM550,000 dengan syarat tambahan dikenakan.

Peguam Mohamed Musthafa yang mewakili tertuduh kemudian memohon jaminan yang rendah dan memberitahu Muzzamil akan dijamin oleh isterinya yang merupakan suri rumah.

Sementara itu, isteri tertuduh yang hadir ketika prosiding dalam rayuannya memaklumkan dia hanya mampu menjamin sebanyak RM5,000 bagi kesemua pertuduhan atas alasan mereka mempunyai dua orang anak yang masih bersekolah serta suaminya menghidap penyakit kronik.

Bagaimanapun, hakim menegaskan jumlah jaminan itu tidak munasabah mengambil kira kerugian bagi semua pertuduhan hampir RM200,000.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Kes akan disebut semula pada 16 Januari depan untuk serahan dokumen. – UTUSAN

The post Penceramah bebas didakwa terima deposit RM187,000 tanpa lesen  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *