MELAKA: Proses pendaftaran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskan bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen dijangka selesai dalam masa terdekat.

Mohd. Rafiq berkata, buat masa ini beliau bergerak atas kapasiti individu dalam merencana dan melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan.

“Saya dalam proses mendaftar NGO dan kini bergerak atas kapasiti individu sebagai bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput.

“Saya rasa dalam Januari akan lulus (pendaftaran) dan kita akan buat perasmian NGO ini dengan kadar yang segera. Buat masa ini masih belum ada nama lagi, tetapi kita telah hantar tiga cadangan nama kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk dipertimbangkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas program gunting rambut percuma untuk pelajar sekolah di Tanjung Minyak di sini hari ini.

Sebelum ini, Mohd. Rafiq bertindak meletak jawatan dan keluar Bersatu selepas kecewa tidak dicalonkan di kerusi Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), meskipun sudah dijanjikan oleh pucuk pimpinan sebelum ini.

Sementara itu, mengenai inisiatifnya menyediakan khidmat gunting rambut percuma, Mohd. Rafiq berkata, seramai 120 pelajar sekolah dalam kawasan Tangga Batu menyertai program tersebut.

Katanya, program sedemikian memberi manfaat kepada ibu bapa untuk memastikan penampilan anak mereka sentiasa kemas menjelang pembukaan sekolah, esok. – UTUSAN

The post Pendaftaran NGO bekas Naib Presiden Bersatu selesai Januari appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *