PUTRAJAYA: Pendedahan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berhubung tawaran jawatan dalam Kabinet perlu diajukan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malah, beliau memberitahu, perkara itu tidak boleh dijawab kerana janji itu tidak diberikan oleh beliau. 

“Kadang-kadang orang sebut nama sahaja tidak ada pun tawaran tersebut, tapi kerana tidak ada sesiapa ketika itu, jadi dia main sebut. 

“Sekarang ini macam-macam cerita yang bukan-bukan timbul. 

“Jadi tidak perlu kita ambil itu sebagai cerita yang dianggap benar. Saya pun tidak tahu. Kalau kamu (wartawan) nak, kena tanya Presiden,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis pecah tanah Wisma Cuepacs Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika ditanya wartawan menjawab berhubung pendedahan Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) bahawa dia ada diminta Ahmad Zahid untuk tidak bertanding di Parlimen Kimanis dan membantu calon-calon BN. 

Terdahulu, media melaporkan, Anifah membuat kejutan apabila muncul dalam program Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sabah, kelmarin.

Anifah bukan sekadar hadir dalam Perhimpunan Kebangkitan Rakyat Sepanggar, malah beliau secara terang-terangan menyatakan sokongan terhadap Anwar Ibrahim selaku calon Perdana Menteri.

Malah, beliau mendedahkan, dia ada diminta oleh Ahmad Zahid untuk tidak bertanding di Parlimen Kimanis dan membantu calon-calon BN. 

Dedahnya, sebagai balasan, calon BN Parlimen Bagan Datuk itu menawarkan jawatan Menteri Luar dan Senator kepadanya. 

Bagaimanapun, katanya, bukan jawatan yang beliau kehendaki sebaliknya, beliau mahu agar tuntutan-tuntutan yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditunaikan. – UTUSAN

The post Pendedahan Anifah: Tanya Presiden – Ismail Sabri appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *