ARAU: Sememangnya sudah menjadi rutin harian Nurulhisham Yaakob menunggang motosikal jenis Modenas Kriss memasuki seluruh pelosok kampung di Simpang Empat di sini sejak menjadi wakil rakyat di situ

Sikap dan perwatakan ‘kampung’ Nurulhisham menyebabkan beliau cukup disenangi dalam kalangan penduduk di kawasan berkenaan sejak menjadi wakil rakyat dua penggal lalu.

Mendepani pilihan raya ketiganya dalam mempertahankan kerusi berkenaan kali ini, Nurulhisham tetap meneruskan rutinnya itu sepanjang tempoh kempen ini.

Katanya, beliau hanya berkempen dengan cara kampung memandangkan kaedah itu lebih mudah dan menjimatkan masa selain dapat mendekati seramai mungkin pengundi di sini.

“Saya sememangnya sudah sekian lama menggunakan pendekatan kempen cara kampung seperti ini sejak PRU13 lagi memandangkan kaedah sebegini lebih disukai penduduk setempat.

“Seperti kebiasaan, saya hanya menunggang motosikal jenis Modenas Kriss ini dalam kempen pilihan raya sejak dua penggal lalu untuk meronda di kawasan kampung bagi mendekati penduduk,” katanya ketika ditemui selepas turun beramah mesra dengan penduduk di Kampung Sungai Baru, Simpang Empat di sini hari ini.

Nurulhisham atau lebih mesra disapa YB Sham menyandang kerusi DUN Simpang Empat sejak PRU13 dan dalam PRU15, beliau dicabar lima calon lain iaitu Razali Saad (PN); Amran Darus (PH); Izhar Kamarudin Sudin (Pejuang); Wan Noralhakim Shaghir Saad (Warisan) dan Ammar Hassan (Bebas).

Pada PRU14, Nurulhisham memenangi kerusi DUN Simpang Empat dengan majoriti tipis 82 undi menerusi pertembungan tiga penjuru melawan calon Pas dan PKR.

Dalam pada itu, mengulas mengenai momentum semasa BN di DUN Simpang Empat, Nurulhisham berkata, pihaknya menerima maklum balas positif daripada pengundi-pengundi khususnya menjelang hari pengundian Sabtu ini.

“Hampir keseluruhan kawasan kita masuk untuk mendekati pengundi dan penerimaan mereka juga amat baik bagi memastikan BN terus mempertahankan kerusi ini,” katanya. – UTUSAN

The post Pendekatan ‘kampung’ YB Sham pikat pengundi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *