BAGAN DATUK: Kelibat pelakon utama filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Datuk Adi Putra mencuri tumpuan penduduk apabila hadir pada program kempen Barisan Nasional (BN) di sini.

Malah, kehadiran pelakon berusia 41 tahun itu turut diumumkan oleh Pengerusi BN yang juga penyandang Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap merasmikan Fiesta Balik Bagan Datuk Jom Balik Mengundi di Jeti Waterfront Bagan Datuk hari ini.

Ketika ditemui pemberita, pemilik nama Mohamed Hadi Putera Halim itu menjelaskan, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini bukan penglibatan pertamanya dalam politik, malah pernah turut sama membantu kempen BN pada PRU sebelum ini.

“Insya-Allah saya akan berkempen di seluruh negara, inilah sumbangan saya kepada peminat yang menghargai dan menyokong saya. 

“Tetapi (sokongan) itu (diharap bukan) dalam dunia perfileman (sahaja), sekarang untuk kestabilan politik dan ekonomi semasa,” jelas beliau.

Beliau memaklumkan penerimaannya dalam kempen BN sebenarnya satu penghargaan untuk dirinya selain suatu bentuk sumbangan kepada mereka yang dapat menilai penglibatannya itu.

Justeru, beliau mengingatkan pengundi terutama peminatnya supaya tidak mudah keliru serta menggunakan pemikiran dan bukannya nafsu ketika mengundi pada 19 November ini.

“Ambillah masa sejenak (sekurang-kurangnya) lima minit (untuk berfikir) sebelum mengundi.

“Tiada sesuatu yang mustahil (untuk BN kembali memerintah) Apa yang kita ingin, semua inginkan ialah kestabilan dan kemakmuran. 

“Jangan kita terkeliru. Mudah-mudahan dengan kestabilan ini akan membawa satu mercu (kegemilangan) terutama kepada pengundi muda,” ujar beliau. – UTUSAN

The post Penduduk Bagan Datuk teruja ‘Mat Kilau’ berkempen appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *