KUALA LUMPUR: Penduduk di sebuah kondominium di Brickfields di sini, mendakwa lif kediaman tersebut pernah beberapa kali tersangkut, namun kejadian terjatuh kali pertama berlaku.

Seorang penduduk lelaki yang enggan dikenali berkata, masalah lif tersangkut pernah berlaku di blok kediamannya namun tidak menyangka situasi lebih buruk terjadi Jumaat lalu.

“Bila berlakunya kejadian seumpama ini (lif terhempas), kita harap pihak pengurusan dapat jalankan siasatan.

“Ini kerana penduduk tidak pernah gagal membayar yuran penyelengaraan bulanan,” katanya ketika ditemui berhampiran kondominium tersebut.

Sementara itu, Utusan Malaysia yang mahu melakukan tinjauan di lokasi kejadian semalam, tidak dibenarkan masuk ke premis tersebut oleh pengawal keselamatan.

Jumaat lalu, dua individu patah kaki manakala empat lagi selamat selepas lif dinaiki mereka jatuh dari tingkat lapan dalam kejadian di sebuah blok kondominium di Brickfields.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, pada pukul 9.52 malam.

Katanya, terdapat enam individu berada di dalam lif terbabit ketika kejadian itu terdiri daripada tiga wanita, dua lelaki serta seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun. – UTUSAN

 

The post Penduduk dakwa lif pernah tersangkut appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *