KUALA TERENGGANU: Seramai 52 penduduk Kampung Pulau Sekati di sini yang diarahkan mengosongkan rumah mereka oleh pemilik tanah akan diberikan kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Nanas, Kuala Nerus dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Dr. Alias Razak berkata, pihaknya juga telah berbincang dengan pemilik tanah untuk melanjutkan masa dan membenarkan penduduk terbabit tinggal sementara sebelum berpindah ke PPR Bukit Nanas.

Menurutnya, walaupun tidak melibatkan tanah kerajaan ne­geri, namun masalah yang dihadapi penduduk itu tetap di­selesaikan untuk kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, penduduk ter­libat sebelum ini mencadang­kan kerajaan negeri membangunkan tanah rizab di tepi sungai kampung itu tetapi didapati tidak sesuai kerana kawasan tersebut berisiko ditenggelami air.

“Nama penduduk terlibat sudah berada dalam senarai penerima PPR Bukit Nanas dan surat tawaran akan diserahkan pada Februari atau Mac nanti,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Alias menambah, penduduk terlibat juga diminta menunggu sedikit masa lagi kerana PPR Bukit Nanas belum mendapat sijil layak menduduki walaupun telah lama siap sepenuhnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan seramai 52 penduduk di Kampung Pulau Sekati di sini berada dalam kegelisahan apabila perlu mencari tempat berteduh baharu setelah diarah meninggalkan rumah sebelum 17 Januari ini. –UTUSAN

The post Penduduk diarah kosong rumah diberi kediaman PPR appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *