MARAN: Lebih 140,000 penduduk di daerah ini berharap agar pembinaan Hospital Maran yang ditunggu sejak 2016 tidak lagi tertangguh dan diteruskan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pembinaan fasiliti kesihatan tersebut sebelum ini menempuh pelbagai liku dan ia menjadi dilema buat penduduk di daerah itu ekoran perubahan kerajaan selepas PRU14 lalu.

Pada pembentangan Bajet 2023 lalu, sebanyak RM350 juta diperuntukkan kerajaan bagi membina Hospital Maran yang diluluskan sewaktu pemerintahan kerajaan terdahulu diterajui Barisan Nasional (BN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Ahmad Nahran Ishak, 60, dia optimis kerajaan baharu yang dibentuk selepas PRU15 dapat melaksanakan pembinaan Hospital Maran yang begitu dinanti-nantikan penduduk daerah ini.

“Daerah Maran memerlukan hospital sendiri selari dengan statusnya sebagai sebuah daerah sejak 13 Mei 1981. Bera daerah termuda Pahang pun sudah ada hospital sendiri berbanding daerah ini.

“Jadi penduduk berharap ia tidak lagi tertangguh selepas PRU15 nanti demi memastikan kami turut memperoleh kemu­dahan fasiliti kesihatan terbaik yang ditunggu sejak sekian lama,” katanya di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pem­bangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Orang Asli Batu 55, Manan Bujing, 48, teruja menunggu pembinaan Hospital Maran yang hanya dua kilometer dari perkampungan masyarakat itu.

Katanya, Hospital Maran secara langsung memberi impak ekonomi dan sosial kepada Orang Asli kampung ber­kenaan.

Seorang lagi penduduk, Mawar Ismawati Jamri, 27, berkata, pembinaan hospital ini dapat meningkatkan tahap kesihatan penduduk dan tidak perlu lagi ke Hospital Jengka dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk mendapatkan rawatan. – UTUSAN

The post Penduduk harap Hospital Maran siap appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *