YAN: Penduduk Kampung Tengah Makau di Dulang Kecil, Jalan Sungai Yan di sini terkejut apabila menemukan 158 ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja terapung di tali air berdekatan kawasan rumah mereka pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihaknya dihubungi penduduk di situ memaklumkan tentang penemuan dadah bernilai RM450,415 itu pada pukul 9.35 pagi.

“Kita bergegas ke lokasi dan hasil pemeriksaan mendapati kesemua ketulan mampat dadah tersebut terapung berdekatan pintu air di kampung berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati keseluruhan berat dadah ditemui adalah 180.17 kilogram yang boleh digunakan oleh kira kira 350,000 penagih,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya percaya dadah itu dipercayai telah berada di situ selama kira-kira enam jam sebelum penduduk menemuinya.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui dari mana dadah itu dibawa atau kenapa ia ditinggalkan di situ. Kawasan ini dipercayai hanya dijadikan transit sebelum dadah tersebut diedar ke luar daerah ini,” ujarnya. –UTUSAN

The post Penduduk jumpa 158 ketulan ganja terapung appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *