SEREMBAN: Sejak lebih lima tahun lalu penduduk di Kampung Kadir, Nilai, terpaksa menahan bau busuk dan meloyakan dari air loji kumbahan milik kawasan perumahan berhampiran yang dialirkan ke Sungai Batang Labu, Nilai, di sini.

Seorang penduduk, Saleh Jaratin, 64, berkata, bau busuk itu dipercayai berpunca daripada air kumbahan yang dialirkan tanpa mengikut prosedur yang sistematik oleh pihak pemaju.

“Bau itu memang kuat de­ngan air berwarna hitam terutama ketika air dilepaskan daripada loji dua kali sehari pada pukul 8 pagi dan 3 petang.

“Air kumbahan itu mengalir melalui parit di belakang rumah saya sebelum masuk ke sungai utama, sebelum ini ada penduduk lain pernah buat adu­an kepada pemaju dan mereka maklumkan pam loji tidak berfungsi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Abdul Jailani Mokhtar, 68, pula memberitahu, setiap hari dia terpaksa menahan bau yang begitu kuat sehingga tidak lalu makan dan sukar tidur.

“Rumah juga perlu sentiasa ditutup bagi mengelak udara busuk dari luar masuk ke dalam rumah.

“Kalau hujan lebat berterusan, air busuk melimpah sehingga ke laman rumah dan sampah sarap termasuk lampin bayi hanyut dari loji kumbahan taman perumahan berdekatan” katanya yang tinggal di kampung tersebut sejak 30 tahun lalu.

Sementara itu, Salmah Jamal, 70, berkata, keadaan tersebut juga menyebabkan air sungai di hadapan rumahnya yang sebelum ini jernih bertukar hitam selain mengeluarkan bau meloyakan.

Salmah berkata, keadaan itu jelas menunjukkan air kotor daripada tempat lain telah di­salurkan ke sungai terbabit.

“Kalau dulu di sungai ini kami boleh mandi dan meman­cing, tetapi sekarang tidak lagi kerana ia kotor selain meng­gangu pengudaraan.

“Saya dah biasa dengan bau busuk ini, tetapi kalau orang luar memang tidak tahan baunya kadang kala seperti menghidu bau bangkai ditambah pula dengan sampah yang dibuang ke dalam sungai ini oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya lagi. –UTUSAN

The post Penduduk loya bau busuk air loji appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *