SEOUL: Khabar angin mengenai penampakan objek terbang tidak dikenali (UFO) sehingga meninggalkan jejak wap berwarna pelangi dan cahaya misteri di ruang udara Korea Selatan rupa-rupanya hanya latihan ketenteraan.

Perkara itu disahkan selepas tentera negara itu mengaku pihaknya adalah ‘dalang’ di sebalik objek misteri yang heboh diperkatakan dalam media sosial.

Menurut Kementerian Pertahanan, objek melambung tinggi di langit itu adalah satu bentuk roket baharu yang sedang dibangunkan oleh pihak tentera.

Pihaknya menjelaskan latihan tersebut tidak dimaklumkan lebih awal kerana melibatkan isu sensitif keselamatan ketenteraan negara.

Bagaimanapun, bentuk roket yang menimbulkan situasi panik dalam kalangan penduduk di Goyang belum diumumkan lagi.

Ujian roket yang dilancarkan ke ruang udara membolehkan pengawasan dari angkasa lepas dijalankan dan memberi peluang kepada Korea Selatan memperkukuh aspek pertahanan.

Susulan itu, pihak berkuasa menerima beratus-ratus laporan daripada penduduk yang melahirkan kebimbangan tentang kehadiran makhluk asing di bumi.

Roket itu dilancarkan empat hari selepas Korea Selatan menuduh Korea Utara menerbangkan lima dron merentasi garis sempadan.

Dilaporkan, pihak tentera gagal menembak dron tersebut walaupun menyedari kehadiran objek itu di ruang udara, sekali gus menimbulkan persoalan keselamatan rangkaian pertahanan udara negara ini.

Dalam perkembangan sama, Korea Utara juga berusaha membangunkan satelit pengawasan ketenteraan pertama serta sistem senjata berteknologi tinggi bagi mengatasi keupayaan Amerika Syarikat.-AGENSI

The post Penduduk sangka ternampak UFO, rupanya roket tentera appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *