JERANTUT: Kira-kira 1,000 orang penduduk tiga buah kampung di Ulu Tembeling iaitu Kampung Bantal Seberang, Kampung Gusai dan Kampung Mat Daling meminta kerajaan menyiapkan segera jalan berturap bagi ke­selesaan mereka membawa hasil kampung dan berurusan ke bandar Jerantut.

Ini kerana jalan di situ hanya diturap batu kecil sejak beberapa tahun lalu sekali gus menimbulkan ketidakselesaan pelawat berkunjung ke kawasan pelancongan di penempatan pesisir Sungai Tembeling, Ulu Tembeling yang kini kian maju dan dikenali ramai.

Laluan tersebut belum ditar sepenuhnya, iaitu sejauh lima kilometer dari Kampung Bantal Seberang ke Kampung Mat Da­ling dan jarak yang sama ke Kampung Gusai.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Kampung Bantal Seberang, Hamizon Loai, 45, berkata, keadaan laluan tersebut masih di takuk lama tanpa diturap tar sehingga menimbulkan ketidakselesaan penduduk berulang-alik ke kampung berdekatan dan bandar Jerantut.

“Sewajarnya isu jalan perlu diselesaikan segera kerana kemudahan ini antara cakna kerajaan memajukan pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan Ulu Tembeling.

“Penduduk di sini mahukan kerajaan menurap tar bagi menggantikan laluan berkerikil yang mengundang risiko keselamatan penunggang motosikal khususnya ketika memunggah hasil kampung ke tempat jualan dan bandar Jerantut,” katanya di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Amri Buang, 40, berkata, kos menurap tar tidak memerlukan peruntukan yang besar dan kerja tersebut tidak sepatutnya ditangguhkan oleh pihak berwajib.

“Sepatutnya kawasan Ulu Tembeling sudah dilengkapi jalan kampung diturap tar antara kemudahan penting bagi penduduk selain keselesaan pe­ngunjung luar yang datang melihat keindahan alam sekitar dan perkampungan Melayu di sini,” katanya. – UTUSAN

The post Penduduk Ulu Tembeling minta kerajaan segera turap tar jalan kampung appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *