SEREMBAN: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penerimaan rakyat terhadap parti itu ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ketika ini adalah sangat berbeza jika dibandingkan ketika pilihan raya umum yang lalu.

Jelas beliau, perkara tersebut dapat diperhatikan sepanjang tempoh kempen ketika ini dengan body language (bahasa tubuh) rakyat yang dilihat dapat menerima baik calon BN.

“Ada dua tiga tempat yang saya pergi di luar Rembau, penerimaan masyarakat, tidak seperti Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), body language, dahulu apabila nampak pakai baju BN, cepat-cepat lari daripada kami, atau buat-buat tidak nampak, tetapi sekarang ini, Alhamdulillah, mereka melambai kami.

Body language dan sambutan sebegini dapat kami rasakan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, PRN Johor dan pilihan raya kecil (PRK) jelas nampak.

“Itu sebabnya pada kali ini sambutan pengundi saya rasakan tidak mencemaskan berbanding 2018, memang betul pun, dan keputusannya (PRU14) pun amat malang sekali dan BN kalah. Jauh berbeza (ketika ini) sikap, penerimaan orang itu lain dan ini satu petanda baik,” katanya ketika ditemui di Command Centre BN Parlimen Rembau di Rantau di sini hari ini.

Mohamad yang juga calon BN di Parlimen Rembau menambah, beliau juga mendapati, suasana PRU15 juga lebih tenang dan orang ramai kurang memperkatakannya berbanding PRU14.

“Orang tidak banyak bercakap sekarang, tidak seperti PRU14 dahulu, di kedai-kedai kopi, bising dengan politik, tetapi sekarang nampak tenang dan relaks.

“Saya rasa orang telah buat keputusan, siapakah yang akan mereka berikan mandat semula, kami sekarang bergerak untuk tunjukkan keberadaan kami, sambil berjumpa dan menemui pengundi seramai mungkin,” katanya lagi.

Sementara itu, mengenai perjalanan kempennya di Rembau, Mohamad mengakui, beliau banyak memberi tumpuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi.

“Selepas lima hari di Rembau, sambutan macam biasa, kerana Rembau ini banyak penyokong BN, kami tidak hanya kempen sahaja bekerja, kami sentiasa berada bersama masyarakat.

“Saya banyak luangkan masa di Paroi kerana kawasan ini BN kalah semasa PRU14 lalu, di DUN-DUN lain, wakil rakyat BN masih ada, tetapi di Paroi saya ambil tugas sebagai Pengerusi Penyelaras DUN Paroi.

“Paroi ini, pengundinya ramai melebihi 50,000 orang, jadi ia memerlukan perhatian dan juga gerak kerja yang lebih fokus dan mantap, sebab itu saya berikan perhatian kepada DUN Paroi,” katanya.-UTUSAN.

 

The post Penerimaan terhadap BN berbeza berbanding PRU14 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *