RANTAU PANJANG: Seorang lelaki terpaksa membuat persiapan untuk ke majlis persandingan di rumah isterinya di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’ Deh di sini selepas rumah keluarganya dinaiki air sejak lima hari lalu.

Rumah  keluarga Muhamad Sharulnizam Kamarudin, 21, di Kampung Bendang Perol di sini digenangi air setinggi 0.5 meter.

Bapa pengantin, Kamarudin Setapa, 53, berkata, anaknya tiada pilihan selain membuat persiapan ke majlis persandingan di rumah pengantin perempuan, Nor Alia Tashneem Ramli, 21, di Kampung Bongor dekat Pasir Mas di PPS ini.

Menurutnya, kenduri kahwin di sebelah pengantin perempuan diteruskan apabila rumah mereka belum dilanda bah.

“Mujur rumah keluarga pengantin perempuan belum dinaiki air.  Jadi, kenduri tetap diteruskan. Cuma majlis menyambut menantu yang sepatutnya turut diadakan hari ini bagi sebelah pihak kami akan ditunda sehingga air surut.

“Selain pengantin lelaki, segala persiapan perkahwinan untuk dibawa ke rumah pengantin perempuan seperti gubahan hantaran perkahwinan dan pulut semangat yang ditempah dibuat di PPS,” katanya ketika ditemui di PPS SK Gual To’ Deh di sini hari ini.

Kamarudin dan keluarganya adalah salah satu daripada enam keluarga yang ditempatkan di PPS tersebut selepas kampung mereka masih banjir.

Kamarudin memberitahu, keluarganya terpaksa membatalkan tempahan makanan dan khemah untuk majlis menyambut menantu hari ini.

Katanya, dia akan menunggu situasi banjir surut dan akan membuat keputusan mengenai majlis menyambut menantu di rumahnya selepas ini.

“Saya akan adakan majlis menyambut menantu itu hari lain. Saya tunggu banjir surut sehingga kami semua dapat pulang ke rumah,” ujarnya.- UTUSAN

 

The post Pengantin buat persiapan ke majlis kahwin di PPS appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *