SAN JOSE: Pengasas syarikat penjagaan kesihatan Theranos, Elizabeth Holmes dijatuhi hukuman penjara 11 tahun selepas didapati bersalah atas pertuduhan konspirasi serta penipuan melibatkan teknologi dan komunikasi.

Bagaimanapun Hakim Daerah AS, Edward Davila di dalam bilik mahkamah di San Jose, California memerintahkan Holmes yang kini sedang hamil untuk menjalani  hukuman pada April tahun depan.

Pendakwa Raya, Stephanie Hinds berkata, hukuman itu mencerminkan betapa besar penipuan dan kerosakan yang ditimbulkannya.

“Selama hampir sedekad, Holmes mengada-adakan dan menyebarkan kepalsuan yang rumit untuk menarik sekumpulan pelabur modal besar dan kecil dan penipuannya menyebabkan kerugian ratusan juta dolar,” katanya dalam satu kenyataan berikutan keputusan hakim itu.

Holmes mengasaskan syarikatnya, Theranos pada tahun 2003 selepas berhenti daripada Universiti Stanford.

Holmes mendakwa berjaya mencipta mesin yang boleh melakukan ujian pelbagai diagnostik perubatan dengan hanya menggunakan beberapa titisan darah.

Beliau memperoleh kontrak yang lumayan dengan syarikat seperti Walgreens untuk mengedarkan mesin ujian darahnya, yang dikenali sebagai Edison, untuk kegunaan komersial.

Bagaimanapun syarikat itu merudum pada 2015 selepas penyelidik, pemberi maklumat, dan laporan dalam Wall Street Journal mendedahkan bahawa Edison tidak dapat berfungsi dengan baik.

Nilai saham Theranos merosot apabila berita itu tersebar, dan pada 2018 Holmes didakwa dengan lapan pertuduhan kerana menipu pesakit dan pelabur.

Kisah Holmes didokumenkan dalam buku ‘Bad Blood: Secrets and Lies in a Silicon Valley Startup’ oleh wartawan Wall Street Journal, John Carreyrou, dan siri dokumentari mengenai kisah itu turut ditayangkan di saluran HBO.-AGENSI

The post Pengasas Theranos dipenjara 11 tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *