KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Fauziah Nawi meluahkan rasa kecewa terhadap tangga gaji penggiat seni di negara ini yang disifatkan terlalu rendah dan tidak setimpal dengan kerja serta perkhidmatan diberikan.

Kata Fauziah atau lebih mesra disapa ibu, bayaran gaji minimum yang terlalu rendah telah membebankan golongan tersebut yang turut terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

“Graduan sekolah seni contohnya, ramai terpaksa bekerja dalam industri dengan bayaran gaji yang terlalu rendah. Saya simpati dengan nasib mereka.

“Mereka semua pemegang ijazah sarjana muda, tetapi apa berlaku apabila masuk dalam industri? Terpaksa akur dengan bayaran gaji yang terlalu rendah.

“Isu ini sudah lama timbul dan tidak pernah selesai. Tidak kiralah penggiat filem, drama atau teater, semua alami nasib yang sama,” katanya selepas sidang media teater Tun Fatimah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dekat sini, semalam.

Teater tersebut yang diarahkan Fauziah, bakal dipentaskan di Auditorium Utama, UIAM dari 27 hingga 29 Oktober ini.

Sementara itu, Fauziah juga terkilan kerana penggiat seni masih dipandang sebagai golongan kelas kedua yang nasib mereka kurang diberi perhatian dan diperjuangkan.

“Orang seni tidak ada apa-apa dan masih dipandang sebagai golongan kelas kedua.
Nak jadi orang seni kena ada kerja lain.

“Berlakon, jadi kru produksi dan sebagainya tidak semestinya menjamin masa hadapan yang baik.

“Nasib penggiat seni tidak semua sama. Bukan semua hidup senang, malah ramai yang merana dan tidak dipedulikan. Keadaan itu sangat mengecewakan saya,” luah Fauziah lagi.

The post Penggiat seni masih dibayar rendah- Fauziah Nawi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *