JEMPOL: Kira-kira 200 pengundi bukan Melayu di Parlimen Jempol menggesa Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengekalkan Datuk Seri Mohd. Salim Mohd. Sharif pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Datuk Dr. Michael Ho berkata, kali ini dijangka lebih 6,000 pengundi Cina dari pelbagai NGO akan memberikan undi kepada Mohd. Salim kerana beliau sentiasa membantu masyarakat di Parlimen sejak lebih lima tahun lalu.

“Kami dari NGO kesal bila tahu beliau (Mohd. Salim) tidak mewakili kerusi Parlimen Jempol. Beliau sentiasa bekerjasama membantu rakyat Bahau tidak mengira bangsa serta agama, apa-apa sahaja masalah beliau sampai dan membantu.

“Kami pengundi Cina sudah bersedia mahu mengundi beliau. Saya harap Presiden UMNO (Ahmad Zahid) dapat bertimbang rasa, kalau tidak, tidak ada harapan untuk BN,” katanya dalam majlis Perhimpunan Kaum Tionghua dan India menyokong Mohd. Salim di Bahau, di sini, hari ini.

Semalam, Jempol antara enam Parlimen yang tidak diumumkan calonnya bagi mewakili BN dalam Majlis Pengumuman Calon PRU15 BN di ibu negara.

Sementara itu, seorang lagi wakil NGO, Chong Wan Yu berkata, sukar untuk melihat pemimpin Cina memberikan sokongan kepada pemimpin Melayu, namun, Mohd. Salim berjaya mengubah kebiasaan berkenaan.

“Beliau bukan sahaja datang semasa mahu pilihan raya, bukan datang lima tahun lalu tapi lebih lama dari itu. Beliau betul-betul membuat kerja untuk masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Taman Jaya, M . Mugilan turut berharap agar Mohd. Salim dapat dikekalkan memandangkan masyarakat India juga sering dibantu serta tidak diabaikan terutama sepanjang sepenggal menjadi Ahli Parlimen.

“Parlimen Jempol mahukan pemimpin yang macam ini, yang bekerja keras buat kami,” katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, Mohd. Salim memenangi kerusi Jempol dengan majoriti 1,631 undi selepas memperoleh 26,819 undi, menewaskan dua pencabar lain iaitu calon PKR, Kamarulzaman Kamdias yang mendapat 25,188 undi dan calon Pas, Mustaffa Daharun dengan 5,267 undi.

Parlimen Jempol mempunyai seramai 95,776 orang pengundi yang mana 64 peratus daripadanya merupakan pengundi berbangsa Melayu, diikuti 22 peratus pengundi Cina dan 13 peratus pengundi India. – UTUSAN

The post Pengundi bukan Melayu Jempol gesa Mohd. Salim kekal calon appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *