JELEBU:  Walaupun tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya baru memasuki lima hari, golongan pengundi dilihat sudah mempunyai dan menetapkan pilihan masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab mereka pada 19 November ini.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keadaan tersebut dapat beliau lihat sepanjang tempoh berkempen dengan bertemu rakyat di seluruh pelusuk daerah ini.

“Saya sudah menjelajah ke seluruh pelosok kampung dan juga berjumpa dengan masyarakat pelbagai kaum orang Melayu, Cina, India dan Orang Asli, pelbagai lapisan golongan termasuk anak muda dan penjawat awam termasuk golongan veteran dan pesara kerajaan.

“Rata-rata mereka sudah mempunyai satu keputusan untuk mengundi pada 19 November, ke arah mana mereka bakal pilih dan beri mandat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Walkabout di Kampung Jerang, Simpang Durian di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, sepanjang tempoh berkempen ketika ini, beliau melihat respon rakyat kepada BN sangat baik di Jelebu.

“Sambutan dan respon yang saya dapati sangat baik, dengan sokongan yang luar biasa inilah memberi semangat dan kekuatan untuk saya melipat gandakan lagi pendekatan kempen sehingga hari terakhir,” katanya.

Sementara itu, Jalaluddin menyangkal sebarang dakwaan yang mengatakan daerah Jelebu ketika ini ketinggalan dalam soal pembangunan.

Beliau berkata, tuduhan itu lazimnya dilakukan oleh pihak yang ketandusan modal bagi meyakinkan pengundi sehingga terpaksa membuat dakwaan sedemikian.

“Orang Jelebu tahu menilai, sepanjang tempoh saya menjadi Ahli Exco Kerajaan Negeri, dan Ahli Parlimen Jelebu, mereka tahu apa bentuk pembangunan yang dilakukan, sama ada infrastruktur ataupun pembelaan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.-UTUSAN.

The post Pengundi dilihat sudah tetapkan pilihan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *