JEMPOL: Pengundi masyarakat Felda bakal menjadi penentu kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Jempol

Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli berkata, kira-kira 65 peratus daripada keseluruhan pengundi di Parlimen tersebut datang daripada pengundi dari tanah-tanah rancangan Felda.

“Hampir 65 peratus pengundi di Parlimen Jempol adalah terdiri daripada warga Felda. Jika diikutkan tradisi, setiap tanah rancangan Felda yang majoritinya Melayu adalah pengundi yang berpihak kepada BN. 

“Sebanyak 28 tanah rancangan Felda yang terdapat di Parlimen Jempol, Alhamdulillah setakat ini, BN sentiasa mendapat sokongan amat baik daripada semua kawasan Felda termasuk kampung-kampung tradisi,” katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Gerakan BN di Taman Tuanku Puan Chik, Bahau hari ini. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting berkata, penyediaan perumahan mampu milik di Jempol menjadi fokusnya sekiranya diberikan mandat sebagai Ahli Parlimen.

“Bagi saya, rumah mampu milik ini merupakan keperluan yang  mendesak kerana kita tahu harga rumah agak tinggi dan keperluan ini amat penting terutama kepada generasi baharu.

“Selain itu, saya juga akan memperjuangkan pembinaan Lebuh Raya Seremban-Jempol dan jika direalisasikan ia boleh memberi manfaat termasuk ekonomi kepada penduduk setempat selain mengambil kira menaik taraf kemudahan dan infrastruktur rakyat yang lain,” katanya. 

Dalam pada itu, Shamsulkahar berkata, berbaki seminggu tempoh berkempen bagi PRU15, beliau akan terus fokus berjumpa pengundi secara terbuka terutama di kawasan tumpuan ramai.

“Kempen berjalan lancar dan ketika ini sudah sampai peringkat berjumpa pengundi secara terbuka di pasar malam, pasar tani serta premis perniagaan di sekitar Jempol termasuk kawasan tumpuan ramai.

“Alhamdulillah mereka (pengundi) menyatakan sokongan yang positif terhadap BN serta memberi sokongan secara terang-terangan. Saya juga melihat momentum kempen berjalan lancar yang turut dibantu parti komponen di sini,” katanya.-UTUSAN.

The post Pengundi Felda penentu keputusan di Parlimen Jempol appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *