KUALA LUMPUR: Seorang pengundi di Parlimen Pandan tidak dibenar oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini memulakan semakan kehakiman bagi menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid memutuskan demikian selepas menolak tanpa kos permohonan Syed Iskandar Syed Jaafar untuk memulakan semakan kehakiman.

Beliau turut menolak permohonan pengundi kawasan Parlimen Pandan itu untuk menangguhkan keputusan tersebut sementara pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Hakim Ahmad Kamal berpuas hati, permohonan Syed Iskandar remeh dan menyusahkan kerana perkara berhubung pembubaran Parlimen yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA), tidak boleh dicabar di mahkamah.

Pada hemat beliau, isu pembubaran Parlimen tidak boleh dipertikai dan jika kebenaran diberikan sekalipun, tidak memungkinkan relif dibenarkan walaupun selepas beliau mendengar perbicaraan penuh.

Beliau berpendapat, permohonan Syed Iskandar tiada merit kerana Perdana Menteri berhak mengemukakan permohonan kepada YDPA untuk membubarkan Parlimen kerana ia terletak di bawah ruang lingkup Eksekutif dan Legislatif.

Dalam permohonannya, Syed Iskandar menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Terdahulu, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Syed Iskandar memohon keputusan mahkamah ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, permohonan itu dibantah oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili responden-responden.

Pada prosiding lalu, Shamsul menghujahkan, YDPA adalah pembuat keputusan sebenar dan Baginda tidak boleh dicabar atau dipertikai di mahkamah melalui tindakan undang-undang.

Beliau turut menghujahkan, hak Syed Iskandar selaku pengundi tidak terkesan atau dinafikan kerana beliau masih berpeluang menunaikan tanggungjawabnya selepas Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU.

Hujah Shamsul, plaintif menyatakan beliau pengundi kawasan Parlimen Pandan, namun, tidak memperincikan bagaimana haknya untuk mengundi dinafikan.

Sehubungan itu, beliau memohon permohonan kebenaran semakan kehakiman itu ditolak kerana plaintif gagal menunjukkan haknya di sisi undang-undang untuk memulakan tindakan itu.

Sementara itu, Sri Ram menghujahkan, Perdana Menteri merupakan pembuat keputusan sebenar kerana beliau yang `memulakan langkah’ memohon YDPA membubarkan Parlimen.

“Apa yang kami cabar adalah tindakan Perdana Menteri yang mencetuskan pembubaran Parlimen, bukan keputusan YDPA.

“Beliau tidak sepatutnya memasuki kereta dan menghadap Seri Paduka serta memohon pembubaran Parlimen,” hujah Sri Ram.

Dalam afidavit sokongannya, pengundi berusia 55 tahun itu berkata, Ismail Sabri wajib bertindak secara munasabah demi kepentingan rakyat dan pengundi apabila menghadap Agong pada 9 Oktober lalu bagi memohon pembubaran Parlimen.

Syed Iskandar mendakwa, Ismail Sabri menyalahgunakan kuasa kerana gagal mengambil kira kepentingan dan kebajikan rakyat miskin yang akan terjejas oleh musim tengkujuh jika PRU diadakan.

Menurut Syed Iskandar, Perdana Menteri mengambil kira pertimbangan-pertimbangan politik dan bukannya menimbang kemudaratan yang akan dialami oleh orang ramai yang mengundi ketika itu.

Sehubungan itu, beliau mahukan deklarasi bahawa permohonan kepada Seri Paduka pada 9 Oktober lalu, adalah terbatal dan tidak berkuat kuasa.

Syed Iskandar berkata, Ismail Sabri melakukan kesilapan apabila bergantung kepada Perkara 40(2)(b) dan 55(2) Perlembagaan Persekutuan untuk menamatkan penggal Dewan Rakyat.

Beliau mahukan writ larangan yang menghalang SPR, penjawat atau ejennya daripada mengambil langkah menjalankan PRU15. –UTUSAN

The post Pengundi Parlimen Pandan gagal dapat kebenaran semakan kehakiman appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *