SUNGAI BULOH: Calon Barisan Nasional (BN), Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin mendedahkan pengundi Pakatan Harapan (PH) di kerusi tersebut dalam dilema untuk mengundi beliau atau calon PH.

Menurut Khairy kebanyakan pengundi yang beliau temui sepanjang 10 hari berkempen memaklumkan kepadanya mereka belum memutuskan untuk mengundi siapa.

Jelasnya, beliau bersama jentera BN akan terus mendekati golongan berkenaan dengan berbaki empat hari lagi sebelum tarikh mengundi Sabtu ini.

“Orang Sungai Buloh mahu bersikap terbuka, banyak yang belum buat keputusan terutama sekali mereka yang di dalam dilema sekarang ini.

“Mereka kata mahu beri kepada KJ tetapi mereka pengundi tradisi Harapan (PH),” katanya kepada pemberita selepas program Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan KJ, di Uptown Kota Damansara, di sini, malam tadi.

Menurut Khairy, angin perubahan sedang berlaku di Sungai Buloh di mana beliau melihat pengundi PH yang di dalam dilema cenderung untuk menyokongnya.

“Sungai Buloh akan ke arah itu, sama ada mereka hendak menyokong saya dan memberi saya undi kali ini dan terdapat angin perubahan selepas tiga penggal di bawah PH.

“Rakyat mahukan ahli Parlimen yang kuat dan mempunyai platform serta personaliti yang boleh menarik perhatian sekiranya mereka mempunyai masalah,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri merayu pengundi Sungai Buloh untuk terus memberi sokongan dan memilih Khairy sebagai ahli Parlimen kawasan berkenaan.

“Saya merayu supaya pengundi-pengundi di Sungai Buloh memberi sokongan kepada KJ,” jawabnya ringkas.

Parlimen Sungai Buloh bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Khairy (BN), Datuk R. Ramanan (PH), Mohd. Ghazali Md. Hamin (PN), Mohd. Akmal Mohd. Yusof (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan Nurhaslinda Basri serta Syed Abdul Razak Syed Long Alsagof masing-masing calon Bebas.

Pada PRU14 dalam persaingan di P.107 Sungai Buloh, S. Sivarasa meraih 43,631 undi menewaskan Nuridah daripada Pas yang memperoleh 16,977 undi, A.Prakash Rao mewakili BN (16,681) dan Zainurizzaman Moharam dari PSM (642) –UTUSAN

 

The post Pengundi PH dalam dilema undi saya – KJ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *