PUTRAJAYA: Semua pengundi positif Covid-19 diwajibkan memakai pelitup muka dan tidak dibenarkan menaiki pengangkutan awam termasuk e-hailing pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, orang ramai dinasihatkan mengikuti saranan kesihatan bagi memastikan proses pengundian dapat berjalan dengan selamat terutamanya mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19. 

Katanya, semua pihak terutama pengundi positif Covid-19 wajib memakai pelitup muka, manakala bagi pengundi lain adalah amat digalakkan.

“Pengundi yang positif Covid-19 tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk e-hailing serta singgah di mana-mana sebelum dan selepas mengundi. Selain itu, individu itu perlu pulang segera selepas selesai mengundi.

“Pengundi positif Covid-19 perlu mematuhi penjarakkan fizikal selamat, manakala bagi pengundi lain amat digalakkan berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dr. Noor Hisham berkata, semua pengundi dan petugas juga  disarankan menggunakan pensanitasi tangan yang disediakan di tempat mengundi atau membawa pensanitasi tangan sendiri.

Bagi individu yang belum menerima dos penggalak vaksin Covid-19 dinasihatkan segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang sekeliling. 

“Kita semua mempunyai peranan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 kepada pengundi dan petugas di pusat mengundi sepanjang PRU15,” katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Noor Hisham berkata, Malaysia merekodkan penurunan kes positif Covid-19 dengan mencatatkan sebanyak 2,234 kes berbanding kelmarin, 2,882 kes sekali gus diatasi 3,836 kes sembuh. – UTUSAN

The post Pengundi positif wajib pakai pelitup muka hadir mengundi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *