IPOH: Pengundi di Parlimen Tambun meletakkan harapan yang tinggi untuk Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangunkan kawasan Tambun, negeri dan negara selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 hari ini.

Mereka yang ditemui mengakui  sangat berbesar hati kerana Anwar dilantik Perdana Menteri setelah menang kerusi Parlimen Tambun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pekerja swasta, Syafiq Akhir, 30, berkata, sebagai pengundi di Tambun, dia amat berbesar hati kerana akhirnya pengundi di Parlimen itu berjaya merealisasikan impian dan hasrat Anwar untuk ke Putrajaya.

Menurutnya, dia  berharap rakyat memberi peluang dan melihat sejauh mana Perdana Menteri baharu ini mampu memartabatkan nama Malaysia di mata dunia seperti suatu ketika dahulu.

“Sebagai pengundi, saya meletakkan harapan kepada Anwar dan mahu lihat negara yang disayangi ini kembali stabil sama ada daripada aspek politik, ekonomi mahupun keharmonian kaum,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pengundi Parlimen Tambun yang hanya mahu dikenali Hafiz berkata, dia berbangga kerana Anwar, calon yang dia undi pada hari mengundi PRU14 Sabtu lalu dilantik sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, dia berharap di bawah kepemimpinan Anwar, banyak kemajuan yang akan dibawa untuk kawasan Tambun dan negeri dan negara keseluruhannya.

“Saya berharap Anwar menambah pembangunan infrastruktur di kawasan Parlimennya di Tambun dan negeri Perak keseluruhannya. 

“Banyak kawasan di Perak terutama Ipoh yang ‘mati’ pada waktu malam dan dengan kehadiran Perdana Menteri dari Tambun serta kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Perak, saya berharap negeri ini akan maju setanding dengan Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

“Untuk peringkat Persekutuan, saya berharap beliau dapat mentadbir negara dengan baik , dapat menarik pelabur ke dalam negara,” katanya.

Seorang lagi pengundi Tambun yang mahu dikenali sebagai Zulkifli berkata, sebagai Perdana Menteri dari Parlimen Tambun, Anwar diharap dapat membangunkan kawasan Parlimen yang diwakilinya.

“Rakyat di Tambun telah memilih dan memberi kepercayaan kepada beliau sebagai wakil rakyat kami di sini dan sudah tentunya kami menaruh harapan yang tinggi untuk beliau membawa pembangunan yang kami harap-harapkan di sini apatah lagi beliau merupakan seorang perdana menteri,” katanya.

Pada PRU15, Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menang kerusi Parlimen Tambun dengan majoriti 3,736 undi.

Anwar memperoleh 49,625 undi untuk mengatasi penyandang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang memperoleh 45,889 undi.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Aminuddin Md. Hanafiah mendapat 28,140 undi manakala calon GTA, Abdul Rahim Tahir 1,115 undi. – UTUSAN

The post Pengundi Tambun letak harapan tinggi terhadap Anwar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *