BUKIT MERTAJAM: Seorang pengurup wang warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan memalsukan dokumen untuk memperbaharui pasport.
Tertuduh, Kazi Monir, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memalsukan 10 dokumen dengan niat supaya dokumen palsu itu dapat digunakan bagi tujuan menipu.
Antara dokumen tersebut termasuk satu laporan polis Seberang Jaya; resit; invois cukai dan invois MyEG Services Berhad (MyEG) dan resit rasmi Jabatan Imigresen.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah premis di Lorong Usahaniaga 1, Taman Usahaniaga, dalam daerah Seberang Perai Tengah, di sini kira-kira pukul 7.30 malam, 8 Februari lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari manakala tertuduh diwakili peguam, V. Pushpa.
Terdahulu, ketika prosiding berlangsung, Nor Shakila meminta mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana menyifatkan kesalahan memalsukan dokumen itu sebagai serius.
Bagaimanapun, Pushpa merayu anak guamnya diberikan jaminan dengan beberapa alasan termasuk telah tinggal di negara ini sejak 16 tahun lalu selain perlu menanggung ibu bapanya yang berada di Bangladesh.
Jelas Pushpa, isteri tertuduh yang juga berada di Bangladesh baru sahaja melahirkan cahaya mata sulung mereka semalam dan ini merupakan kesalahan pertama tertuduh.
Mohd. Harith kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan.
Pada masa sama, mahkamah turut mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport serta melaporkan diri sebanyak dua minggu sekali di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.
Kes akan disebut semula pada 22 Mac depan untuk tujuan serahan dokumen. – UTUSAN
The post Pengurup wang Bangladesh tak mengaku palsu dokumen perbaharui pasport appeared first on Utusan Malaysia.