KUALA NERUS: Pengusaha chalet di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini melahirkan kebimbangan terhadap ancaman hakisan pantai yang berlarutan sejak dua tahun lalu sehingga menjejaskan perniagaan mereka.
Keadaan itu jika dibiarkan berlarutan akan menyebabkan mereka menanggung kerugian besar.

Pengusaha Chalet Bira Pata, Abdul Wahab Othman, 62, di Kampung Tanjung itu berkata, salah sebuah chalet miliknya dihanyutkan ombak selepas berlaku kejadian hakisan pantai berikutan fenomena air laut pasang besar tahun lalu.

Menurutnya, pada tahun ini pula, sebanyak dua buah chalet terancam dan tidak menolak kemungkinan turut runtuh sekiranya kejadian hakisan semakin serius selepas ini.

“Jumlah keseluruhan chalet yang diusahakan di kawasan itu sebanyak tujuh buah dan sebuah telah runtuh.

“Pada masa ini, dua buah lagi chalet turut terancam dengan kejadian hakisan pantai,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Wahab berkata, dia mengharapkan kerajaan dapat membina segera benteng pemecah ombak untuk mengelakkan hakisan semakin buruk.

Sementara itu, pengusaha Chalet Felora Inn, Maziah Ali, 54, pula mendakwa, sejauh kira-kira 30 meter kawasan pantai di hadapan rumah rehat yang diusahakan terhakis dalam tempoh dua tahun ini.

“Anak saya, Nurul Nabilah hampir setiap bulan menghantar aduan mengenai kejadian hakisan pantai di kampung ini menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awan yang disediakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam talian sejak Ogos tahun lalu.

“Aduan tersebut dikemukakan kerana kedudukan rumah rehat saya semakin hampir de­ngan pantai dan saya bimbang kejadian buruk akan berlaku sekiranya langkah pembinaan benteng pemecah ombak tidak dibina segera,” katanya.-utusan

The post Pengusaha chalet bimbang ancaman hakisan pantai appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *