TEMERLOH: Pengusaha ikan sangkar di pesisir Sungai Pahang di sini melakukan pelbagai persediaan untuk berdepan musim tengkujuh termasuk mengosongkan sangkar bagi mengelakkan kerugian lebih besar.

Difahamkan, terdapat kira-kira 1,800 orang pengusaha ikan sangkar di pesisir Sungai Pahang dari Lipis menghilir ke Jerantut, Temerloh, Maran, Bera dan Pekan menghadapi masalah dan cabaran serupa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pengusaha dari Kampung Bangau Tanjung Kawah, Ahmad Faiez Ahmad Zaidi, 33, berkata, antara langkah diambil mengetatkan dan menambah tali ikatan dan menggantikan tong rosak supaya sangkar mereka tidak mudah hanyut apabila dilanda banjir.

Menurutnya, pengalaman lapan sangkar dihanyutkan banjir pada 2014 kerana tali yang diikat di pokok terputus akibat tekanan arus deras membuatkannya lebih bersedia setiap kali musim tengkujuh.

“Secara umumnya, pengusaha ikan sangkar menghadapi masalah serupa iaitu dalam fasa pemulihan selepas dua tahun pandemik Covid-19 dan kenaikan makanan ikan.

“Ekoran itu harga ikan patin kini RM20 sekilogram berbanding RM17 hingga RM18 sekilogram. Kenaikan harga tidak dapat dielak bagi menampung kos yang meningkat,” katanya di sini semalam.

Seorang lagi pengusaha, Mohd. Syafik Ikhwan Ramli, 27, dari Kampung Pangsenam yang juga berkongsi 56 sangkar ikan dengan keluarga dan rakan turut menukar tali baharu bagi mengelak sangkar dari hanyut.

Menurutnya, pada musim tengkujuh, arus deras Sungai Pahang boleh menyebabkan ikatan tali terputus sebagai mana kejadian pada 2014 sangkar hanyut dan ikan terlepas.

Pengusaha muda, Mohd. Arif Akmal Azman, 21, berkata, setiap kali musim tengkujuh pengusaha ikan sangkar Sungai Pahang ‘gelisah’ menghadapi kemungkinan banjir besar.

“Saya mengusahakan 32 sangkar milik keluarga dan berdoa ke hadrat Allah SWT supaya tahun ini bebas banjir besar yang boleh menggugat industri sangkar yang menjadi sumber rezeki keluarga,” katanya juga dari Kampung Pengsenam.

Mohd. Arif Akmal mengakui kekangan lain pengusaha ialah kenaikan harga palet makanan ikan meningkat sehingga RM80 bagi jenama Dinding berbanding RM65 tahun lalu.

Sehubungan itu beliau berharap kerajaan dapat memberi subsidi harga palet yang meningkat supaya pengusaha memperoleh margin keuntungan lebih baik.

Seorang pengusaha dan juga aktivis rakyat, Khaidir Ahmad, 60, berkata, di Temerloh sahaja, terdapat 1,000 sangkar dimiliki 120 orang menjadi pembekal ikan patin dari daerah ini ke seluruh negara.

Menurutnya, kebanyakan pengusaha ikan sangkar terbabit mula mengosongkan sangkar sebagai langkah berjaga-jaga supaya apabila arus deras ia tidak mudah hanyut.

“Jika ikan penuh di sangkar kemungkinan tali pengikat akan terputus akibat tekanan air deras Sungai Pahang.

“Ketika kejadian banjir pada 2014, saya mengalami kerugian lebih RM1 juta dan kejadian itu dijadikan iktibar untuk lebih bersiap sedia setiap kali musim tengkujuh,” katanya. – UTUSAN

The post Pengusaha ikan kosongkan sangkar hadapi musim tengkujuh appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *