SHAH ALAM: Pemakaian pelitup muka oleh peniaga dan pengendali makanan dan minuman di bandar raya ini diwajibkan mulai 1 Januari depan atau Ahad ini.

Peraturan itu akan dikuatkuasakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebagai salah satu langkah penjagaan kebersihan oleh kumpulan demikian.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, arahan tersebut akan dikuatkuasakan dan menjadi sebahagian daripada syarat kelulusan lesen perniagaan.

“Semua penyedia dan pengendali makanan di negeri ini wajib mematuhi arahan tersebut. Tindakan kompaun akan dikenakan kepada peniaga atau pengendali makanan dan minuman ingkar arahan tersebut yang menjadi antara syarat bagi kelulusan lesen perniagaan,” katanya ketika ditemui.

Jelas beliau, MBSA memohon kepada pengusaha dan pemilik premis makanan dan minuman supaya mengambil perhatian mengenai arahan tersebut dan mengambil langkah dan tindakan perlu bagi memastikan syarat-syarat dan peraturan ini dapat dipatuhi. 

“Kerjasama daripada semua pihak amat diharapkan supaya arahan ini dapat dipatuhi demi menjaga keselamatan dan kebersihan makanan sebelum dijual kepada para pengunjung dan orang ramai,” ujarnya. – UTUSAN

The post Peniaga, pengendali makanan wajib pakai pelitup muka appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *