SINGAPURA: Jumlah mangsa penipuan pancingan data di platform e-dagang Carousell pada bulan Disember tahun lalu melonjak melebihi angka keseluruhan yang  yang dilaporkan sepanjang tahun 2022.

Lapor Channel News Asia, pada bulan Disember sahaja, sekurang-kurangnya 1,115 mangsa ditipu oleh pembeli palsu dengan jumlah kerugian sehingga 1 juta dolar Singapura (RM3.28 juta).

Jumlah tersebut meningkat mendadak melebihi kes yang dilaporkan sepanjang Januari hingga November tahun lalu melibatkan 975 mangsa dengan angka kerugian yang dilaporkan sekitar 938,000 dolar Singapura (RM3.08 juta).

“Berdasarkan siasatan, sebahagian besar laporan yang dibuat melibatkan pemindahan PayNow ke luar negara tanpa kebenaran.

“Ini adalah trend yang membimbangkan, kerana sebaik sahaja wang dipindahkan ke luar negara, peluang untuk mendapatkannya semula sangat tipis,” kata polis.

Jelas polis, taktik yang sering digunakan penipu adalah menyamar sebagai bakal pembeli di Carousell dan kemudiannya meminta penjual memasukkan butiran perbankan mereka di tapak web palsu untuk memudahkan pembayaran.

Urus niaga tanpa kebenaran kemudian akan dibuat daripada akaun bank atau kad mereka.

“Untuk mengekang lonjakan penipuan ini, rakan kongsi utama dalam ekosistem termasuk Carousell dan Persatuan Bank-Bank di Singapura melaksanakan langkah untuk melindungi pelanggan mereka.

“Ini termasuk menahan pemindahan PayNow ke luar negara sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh bank terjejas sehingga ancaman ini reda,” jelas polis lagi.-AGENSI

The post Penipuan di Carousell meningkat mendadak Disember lalu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *