TAMPIN: Seorang penjawat awam mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tampin hari ini atas kesalahan memiliki cecair (vape) yang mengandungi dadah jenis ketamin di Pasir Besar, di sini, Selasa lalu.

Tertuduh, Aznil Hafiz Mohammad @ Basiron, 31, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Kartini Kasran. 

Berdasarkan pertuduhan, pada 10 Januari kira-kira 8.30 malam di bilik pertama rumah di Felda Pasir Besar, Gemas, didapati dalam milikan tertuduh dadah berbahaya jenis ketamin dengan anggaran isipadu 280 mililiter (ml).

Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1852 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan membabitkan penjawat awam itu dan dua orang pekerjanya iaitu Muhammad Hakimie Mazelan, 23, dan Muhammad Harith Abdul Halim, 18, mereka telah mengaku salah atas tuduhan memiliki cecair mengandungi dadah.

Berdasarkan pertuduhan, pada tarikh yang sama kira-kira pukul 7.30 petang bertempat di sebuah kedai vape di Felda Pasir Besar, Gemas didapati dalam milikan mereka dadah berbahaya jenis ketamin dengan anggaran isipadu 50 ml.

Oleh yang demikian, ketiga-tiga tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1852 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya sekali. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Tsu Sheng memohon satu tarikh bagi laporan kimia serta jaminan berwajaran bagi kesemua tertuduh.

Majistret kemudiannya menetapkan tarikh 23 Februari ini bagi sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Gemas dan wang jaminan RM4,000 bagi setiap tertuduh.

Semalam, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, tiga lelaki berusia lingkungan 18 hingga 23 tahun ditangkap dalam dua serbuan di dua lokasi berbeza di sekitar Pasir Besar, Gemas di sini.

Serbuan turut merampas 28 buah botol kecil disyaki cecair dadah jenis ketamin bernilai keseluruhan RM6,800. Hasil siasatan awal mendapati cecair vape tersebut dijual di sekitar Pekan Pasir Besar di sini.-UTUSAN.

The post Penjawat awam mengaku bersalah miliki cecair vape mengandungi dadah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *