PASIR PUTEH: Seramai 32 penternak ikan sangkar di Taman Akuakultur Laguna Semerak, di sini, mendakwa kerugian lebih RM1 juta selepas ratusan ribu hidupan yang diternak mereka mati kesan air daratan yang masuk ke kawasan itu sejak Ahad lalu berikutan hujan lebat.

Pengerusinya, Mustapa Bakar berkata, ikan kerapu hibrid untuk pasaran domestik ke Kuala Lumpur dan Johor selain dieskport ke Singapura ditemukan mati secara berperingkat-peringkat sejak empat hari lalu.

Menurutnya, ikan berusia antara lapan bulan hingga setahun itu dengan purata berat antara 500 hingga 900 gram seekor yang sudah boleh dituai itu mendapat permintaan tinggi menjelang perayaan Tahun Baharu Cina, pada Februari tahun depan.

“Punca utama kematian disebabkan air di kawasan itu bertukar menjadi 90 peratus tawar, situasi itu sekaligus mengubah kualiti dan struktur air dan ia kurang sesuai untuk ternakan ikan. Oleh yang demikian, impian penternak terbabit yang mengusahakan 2,100 petak sangkar dengan modal beratus ribu ringgit tidak kesampaian apabila ikan gagal dibekalkan sebagaimana yang ditempah.

“Setakat ini usaha mengutip ikan yang mati sedang dilakukan untuk dibuang di tempat yang sepatutnya bagi memastikan keadaan air sungai kembali pulih dan tidak berbau busuk yang boleh menyebabkan 10 peratus ikan yang masih hidup termasuk siakap putih dijangkiti penyakit,” katanya kepada pemberita di Taman Akuakultur Laguna Semerak, di sini hari ini.

Mustapa memberitahu, pihaknya sudah merakam gambar kejadian dan bancian kerugian setiap penternak ikan untuk membuat laporan polis di Balai Polis Cgerang Ruku, di sini hari ini.

Katanya, pada banjir tahun 2014 dahulu penternak di kawasan ini telah menanggung kerugian melebihi RM2 juta dengan fenomena cuaca yang sama setiap penghujung tahun dan memerlukan bantuan Kerajaan Persekutuan untuk mengorek semula muara lama Kampung Kuala Semerak yang tertimbus.

Seorang lagi penternak, Ahmad Tarmizi Mohd. Yusoff, 29, berkata dia terpaksa menanggung kerugian paling teruk sepanjang banjir tahun ini apabila 4,000 ikan yang diternaknya mati.

Katanya, susulan itu dia terpaksa mencari sumber kewangan lain termasuk ‘memecah tabung’ untuk menternak semula ikan kerapu hybrid yang mendapat pasaran tinggi dengan kadar jualan RM60 untuk sekilogram.-UTUSAN

The post Penternak ikan kerapu hibrid rugi RM1 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *