KEPALA BATAS: Seorang penumpang maut manakala pemandu cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Pinang Tunggal, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 10.45 malam.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kenderaan yang dinaiki mangsa dari arah Sungai Petani menghala ke Pinang Tunggal.

Apabila tiba di lokasi kejadian jelasnya, kereta terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan.

“Mangsa lelaki berusia 21 tahun yang berada di tempat duduk penumpang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

“Pemandu yang berusia 20 tahun yang cedera parah pula dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

The post Penumpang maut, pemandu parah kereta terbabas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *