BAYAN LEPAS: Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) mencatatkan peningkatan penumpang kira-kira 10 ganda selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, LTAPP merekodkan 3.64 juta penumpang dari Januari sehingga November lepas berbanding hanya 366,000 penumpang bagi tempoh sama tahun lalu.

“Angka terbabit dikira masih rendah berbanding semasa prapandemik, tambahan pula penerbangan antarabangsa baharu sahaja beroperasi semula selepas pembukaan rasmi sempadan negara.

“Selain itu, kemasukan pelancong ke negara ini meningkat sebanyak 894 peratus berbanding tahun lalu ekoran ketika itu negara kita masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun, kita kekal positif dan menjangkakan lebih ramai pelancong akan ke sini tahun depan sekali gus membuktikan sektor pelancongan semakin pulih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan ketibaan penerbangan sulung MYAirline dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rayner Teo Kheng Hock menjelaskan, kekerapan penerbangan ke Pulau Pinang akan ditambah kepada dua penerbangan harian bermula 7 Januari depan.

“Bukan itu sahaja, kekerapan penerbangan ke destinasi sama akan ditingkatkan kepada tiga kali bermula 15 Mac nanti bagi memenuhi permintaan dan lebih fleksibiliti buat penumpang.

“Sepanjang tempoh operasi penerbangan yang dilancarkan ke beberapa destinasi utama bermula 1 Disember lalu, kami mendengar dan meneliti segala kelebihan serta kekurangan yang disuarakan pelanggan bagi memastikan kualiti perkhidmatan sentiasa dipertingkatkan,” katanya. – UTUSAN

The post Penumpang tiba di LTAPP meningkat 10 kali ganda appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *