DAMASCUS: Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh termasuk seorang anggota polis selepas penunjuk perasaan menyerbu sebuah bangunan kerajaan di bandar Sweida di selatan Syria.

Protes anti-kerajaan yang jarang berlaku itu meletus disebabkan kenaikan harga barang serta masalah lain termasuk krisis makanan dan bahan api.

Lapor Al Jazeera, media aktivis, Suwayda24 dan Pemerhati Syria bagi Hak Asasi Manusia (SOHR) mengesahkan dua kes kematian itu dan memaklumkan empat orang dengan luka tembakan dikejarkan ke hospital di bandar Druze.

Suwayda24 memuat naik beberapa gambar menunjukkan puluhan penunjuk perasaan menyeru agar rejim itu dijatuhkan ketika pasukan keselamatan berkawal di luar bangunan.

Gambar lain menunjukkan kenderaan tentera dan tayar terbakar di sekitar jalan-jalan utama di bandar itu.

Ketua Suwayda24, Rayan Maalouf berkata, ramai anggota keselamatan dikerahkan ke kawasan berkenaan.

“Malah, anda masih boleh mendengar bunyi tembakan di sana,” katanya kepada agensi berita The Associated Press.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Syria menerusi kenyataan memaklumkan penunjuk perasaan yang menyerbu bangunan kerajaan itu membawa senjata.

“Mereka merosakkan perabot, memecahkan cermin tingkap dan mencuri beberapa fail mengandungi dokumen.

“Sekumpulan penjenayah membunuh seorang anggota polis ketika cuba menyerbu bangunan ibu pejabat polis,” jelas kenyataan itu.

Laporan media tempatan mendakwa penunjuk perasaan menyerbu bangunan kerajaan dan bertindak membakar beberapa fail dan dokumen rasmi.

The post Penunjuk perasaan serbu bangunan kerajaan di Syria, dua terbunuh appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *