KUALA NERUS: Kelibat penyerang Eropah bakal mengetuai jentera serangan Terengganu FC (TFC) musim depan bagi menggantikan Kipre Tchetche dan Kpah Sherman.

Ketua jurulatih baharu TFC, Tomislav Steinbruckner, berkata, dua pemain kelahiran negaranya, Croatia, telah dikenal pasti sebagai antara tonggak import Sang Penyu.

Walaupun enggan mendedahkan identiti pemain berkenaan, Steinbruckner optimis mampu meyakinan penyerang berbisa itu ke Liga Malaysia selain turut mengintai pemain Asean di posisi bertahan.

“Khabar angin mengaitkan TFC dengan pemain seperti Igor Zonjic dan Luka Milunovic adalah tidak benar sebaliknya pihak pengurusan telah membuat tawaran kepada dua pemain Croatia.

“Beraksi di posisi penyerang dan tengah, mereka ialah pengganti kepada Tchetche dan Sherman. Kami masih menunggu keputusan dua pemain itu namun saya percaya mereka akan datang.

“Bagi kuota Asean pula, TFC masih meneliti calon terbaik dan mungkin kami mendapatkan pemain pertahanan atau tengah bagi kuota itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tambah bekas pengendali T-Team itu, beliau yakin kualiti jentera serangan tanpa kelibat Faisal Abdul Halim juga dapat dikekalkan dengan kehadiran pemain berasal Haiti, Sony Norde.

Bekas tonggak Melaka United itu menjadi awang import pertama menyertai TFC dengan kontrak setahun sekaligus menjadi taruhan dalam Liga Malaysia dan Piala AFC musim depan.

Bagi Norde, 33, keputusan beralih angin ke Pantai Timur adalah keputusan tepat dalam kariernya sambil menyifatkan TFC sebagai antara pasukan terbaik dalam Liga Malaysia.

“TFC memiliki pemain tempatan yang sangat baik dan saya tidak sabar untuk beraksi bersama mereka. Peluang beraksi dalam Piala AFC 2023 juga merupakan tarikan utama saya memilih TFC.

“Aura penyokong setianya yang tidak henti-henti memberi sokongan sama ada di gelanggang sendiri atau tempat lawan turut menarik minat saya mencuba cabaran baharu di sini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

The post Penyerang Eropah ketuai jentera serangan Penyu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *