DOHA: Kapten Sepanyol, Sergio Busquets menyifatkan kekalahan 3-0 menerusi penentuan sepakan penalti di tangan Maghribi dalam pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2022 cukup kejam buat pasukannya.

“Ia menyedihkan. Ia ditentukan menerusi sepakan penalti yang cukup kejam. Ia amat sukar buat kami. Kami cuba memenatkan mereka, biarkan mereka berlari, mencari ruang.

“Namun kami tidak bernasib baik dengan sentuhan terakhir,” kata Busquets.

Ketika ditanya tentang masa depannya bersama skuad Sepanyol, Busquets, 34, yang juga merupakan bintang Barcelona enggan mengesahkan sama ada dia akan terus bersama pasukan kebangsaan.

“Sekarang yang penting ialah pasukan kebangsaan dan bukan saya. Ia malam yang sukar dan kami perlu bangkit serta menggunakan pengalaman ini untuk perlawanan akan datang. Pemain muda yang ada akan membantu pasukan,” katanya.

Achraf Hakimi menjaringkan penalti kemenangan untuk menyingkirkan Sepanyol dan membawa Maghribi ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 di Stadium Education City.

Pengendali Sepanyol, Luis Enrique mendakwa pasukannya melakukan persediaan untuk perlawanan itu dengan mengambil 1,000 sepakan penalti namun, Pablo Sarabia, Carlos Soler dan Sergio Busquets gagal menyempurnakan sepakan mereka.

Dalam perlawanan itu, penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou atau lebih dikenali sebagai Bono muncul wira selepas berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti diambil Soler dan Busquets manakala, tendangan Sarabia terkena tiang.

Mara ke suku akhir merupakan pencapaian terbaik Maghribi selepas tersingkir di peringkat 16 terakhir pada edisi 1986 dan mereka akan berdepan dengan portugal yang membelasah Switzerland 6-1 untuk menempah slot ke separuh akhir.-Agensi

 

The post Penyingkiran Sepanyol yang sangat kejam- Busquets appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *