DOHA: Terlalu banyak kejutan yang berlaku dalam Piala Dunia 2022 menyebabkan Perancis dan England sedikit gelisah apabila turun pada saingan kalah mati hari ini kerana tewas bermakna tersingkir awal.

Perancis yang akan berdepan Poland di Stadium Al Thumama paling resah apabila berdepan Poland kerana mereka telah dikejutkan oleh Tunisia 1-0 dalam perlawanan terakhir kumpulan, Rabu lalu.

England tidak kalah dalam semua perlawanan Kumpulan B, namun belum menunjukkan permainan yang benar-benar ­meyakinkan. Esok mereka akan dicabar juara Afrika, Senegal.

Semalam, dua kejutan besar berlaku menyaksikan Korea Selatan menewaskan Portugal 2-1 dan Cameroon menumbangkan juara lima kali, Brazil 1-0, sekali gus membuktikan Piala Dunia 2022 kejohanan paling sukar diramal.

Perancis berjanji akan membariskan pasukan terkuat untuk menentang Poland dengan Kylian Mbappe, Antoine Griezmann dan Olivier Giroud kembali memperkuatkan barisan selepas direhatkan daripada kesebelasan utama menentang Tunisia.

England pula sudah mempersiapkan pemainnya menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk melatih mengambil sepakan penalti untuk mengelak kekecewaan final Euro 2020, tahun lalu berulang apabila mereka ditumpaskan oleh Itali.

Piala Dunia 2022 telah me­nyaksikan dua gergasi pulang awal, juara empat kali, Jerman dan pasukan No. 2 dunia, Belgium.

Piala Dunia kali ini juga te­lah menyaksikan pasukan ­seperti Argentina, Brazil, Perancis, Sepanyol dan Portugal kalah kepada lawan tidak diduga.

The post Perancis, England elak ‘bungkus’ awal appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *