PARIS: Perancis menerima satu lagi tamparan hanya lima hari sebelum bermulanya Piala Dunia 2022 apabila Christopher Nkunku diketepikan daripada kejohanan kerana kecederaan.

Nkunku mengalami kecederaan pada sesi latihan terakhir di Clairefontaine, yang merupakan pusat bola sepak kebangsaan Perancis semalam.

Laporan menyatakan penyerang RB Leipzig itu bertembung dengan pemain tengah Real Madrid, Eduardo Camavinga, menyebabkan dia mengalami masalah di kaki kiri.

Dia menyertai N’Golo Kante dan Paul Pogba dalam senarai bintang Perancis yang terkeluar daripada kejohanan di Qatar.

“Kecederaan dalam latihan, Christopher Nkunku terpaksa melupakan Piala Dunia.

“Seluruh pasukan berkongsi kesedihan Christopher dan mendoakan agar dia cepat sembuh,” kata skuad kebangsaan Perancis dalam satu kenyataan hari ini.

Injured in training, Christopher Nkunku drops out of the World Cup. The whole group shares Christopher’s sadness and wishes him a speedy recovery @c_nk97
#FiersdetreBleus pic.twitter.com/cnpEtH4476

— French Team (@FrenchTeam) November 15, 2022

Nkunku adalah penjaring gol terbanyak dalam Bundesliga musim ini dengan 12 gol daripada 15 perlawanan, ditambah dua umpanan.

Dia juga membantu Leipzig layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara dengan tiga gol dalam empat perlawanan terakhir mereka.

Leipzig tewas dua aksi pembukaan kumpulan di Eropah tetapi mengubah kempen mereka dengan memenangi empat perlawanan berturut-turut, termasuk kemenangan 3-2 menentang Real Madrid.

Perancis akan menentang Australia dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia pada 22 November, sebelum menentang Denmark dan Tunisia.  – AGENSI

The post Perancis hilang tonggak menjelang Piala Dunia 2022 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *