PETALING JAYA: Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berlangsung hari ini di seluruh negara dijangka melebihi 80 peratus.

Jangkaan itu melihat lebih 21 juta pengundi berdaftar termasuk pengumur berumur 18 tahun dijangka menunaikan tanggungjawab mengundi hari ini, berdasarkan rekod Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Oktober 2022.

Selain itu, ramalan ini juga melihat mood pengundi yang pulang ke tempat mengundi masing-masing selepas kerajaan sementara mengisytiharkan 18 November 2022 (semalam) dan hari ini sebagai hari kelepasan am.

Malah, keadaan trafik yang sesak sejak semalam di samping jumlah tiket bas dan kereta api yang dijual dilaporkan telah mencapai hampir 100 peratus daripada kuota disediakan menguatkan ramalan peratusan keluar mengundi lebih tinggi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil berkata, ia mungkin disebabkan keinginan pengundi yang mahu sebuah kerajaan yang stabil dan tidak berlaku lagi siri pergolakan politik seperti sebelum ini.

“Saya tidak fikir yang peratusan mengundi rendah kerana orang ramai berasa teruja untuk mengundi. Kita pernah melalui fasa-fasa kerajaan Persekutuan tidak stabil malah ada yang membawa lari kerusi-kerusi Parlimen.

“Selain itu, ada banyak jajaran politik yang bertanding kali ini, dan setiap parti politik mempunyai usaha yang luar biasa untuk memastikan kesemua pengundi terutama di luar negara pulang mengundi. Para mahasiswa juga disediakan kemudahan oleh banyak pihak supaya pulang mengundi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Senada dengan beliau, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Dr. Azmi Hassan berkata, peratusan keluar mengundi kali ini lebih tinggi berbanding PRU14 kerana Undi 18 tahun ketika itu masih belum berkuatkuasa.

Untuk rekod, PRU14 menyaksikan 82.32 peratus pemilih keluar mengundi atau seramai 12,229.514 daripada 14,940.624 pengundi berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya jangka rakyat memang teruja keluar mengundi. Mereka akan menggunakan kuasa mereka kerana pada empat tahun lalu, karenah politik tanah dianggap sebagai memualkan disebabkan sikap ahli-ahli Parlimen. Jadi, jumlah keluar mengundi kali ini menjadi lebih tinggi,” katanya.

Profesor Pengajian Tadbir Urus, Pusat Pembangunan Lestari Jeffrey Sachs (JSC), Sunway University, Prof. Wong Chin Huat tidak menafikan semangat pengundi yang berkobar-kobar akan memangkah calon pilihan masing-masing pada kertas undi.

Bagaimanapun, beliau menjangka peratusan undi hanya mencecah antara 60 sehingga 65 peratus disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu di beberapa kawasan di seluruh negara.

“Kita lihat semangat semangat berkobar-kobar untuk keluar mengundi di dalam dan luar negeri, malah melibatkan puluhan syarikat perniagaan yang memberi diskaun atau barangan percuma kepada pengundi yang menunjukkan jari berdakwat selepas mengundi.

“Namun, saya menjangkakan bahawa kadar mengundi akan melebihi nilai yang saya sebut kerana cuaca yang buruk,” katanya.

DPPR bagi PRU15 mengandungi 21,173,638 orang pemilih terdiri daripada 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 tentera serta pasangan, 118,794 polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. – UTUSAN

The post Peratusan keluar mengundi dijangka lebih 80 peratus  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *