BUTTERWORTH: Pengerusi Penang Front Party (PFP), Datuk Ooi Khar Giap dan seorang wanita, Chye Lay Hoon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan memperdagangkan manusia bagi tujuan eksploitasi kerja membabitkan 10 mangsa warga tempatan sembilan bulan lalu.

Khar Giap, 55, yang juga pengarah syarikat dan Lay Hoon, 52, yang merupakan pengurus sumber manusia syarikat sama membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa dalam mencapai niat bersama telah memperdagangkan 10 warga tempatan bagi tujuan buruh paksa di sebuah premis di Taman Tangling Indah, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan (SPS) dekat sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka dari 14 Februari sehingga 27 Oktober lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu di mahkamah sama, dua individu yang bekerja di syarikat sama iaitu Lim Yong Choon, 47, dan Woong Chew Hoe, 40, turut mengaku tidak bersalah atas 20 pertuduhan bersubahat memperdagangkan manusia bagi tujuan eksploitasi kerja pada tarikh dan tempat yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin RM362,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 4 Januari 2023 untuk sebutan semula kes.

Pada 27 Oktober lalu, polis Pulau Pinang menahan 11 individu termasuk seorang ahli politik kerana disyaki terbabit sindiket pemerdagangan orang dengan berselindung di sebalik pusat pemulihan alkohol dan dadah di daerah SPS dekat sini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan yang beroperasi hampir dua tahun lalu menyasarkan individu yang mempunyai masalah ketagihan dadah dan alkohol.

Katanya, semua mangsa yang diselamatkan dipaksa bekerja di kedai kereta, servis pendingin hawa, kedai kayu dan kedai makan tanpa dibayar gaji serta tiada cuti rehat. – UTUSAN

The post Perdagangkan manusia: Pengerusi PFP, 3 individu mengaku tidak bersalah  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *