KLANG : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penubuhan sebuah jawatankuasa pelaksanaan dan pemantauan kos sara hidup, kata timbalannnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahmad Zahid, beliau sendiri telah diarahkan oleh Perdana Menteri untuk mempengerusikan jawatankuasa tersebut, bagi memastikan usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat dapat dilakukan secara berterusan.

Katanya, jawatankuasa itu akan memastikan kesinambungan kepada pengumuman yang telah dilakukan kerajaan sebelum ini, termasuk berkaitan tarif elektrik, petrol serta langkah mengawal kekurangan bahan makanan asas.

“Saya telah bekerjasama dengan menteri-menteri tertentu yang menjaga portfolio mengenai kos sara hidup ini bersama-sama Ketua-ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah serta lain-lain pegawai kanan kementerian untuk menangani permasalahan ini secara tuntas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Timbalan Perdana Menteri anjuran Persatuan Penganut Kuil Sree Maha Kaliamman hari ini.

Terdahulu semasa berucap pada majlis tersebut, Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri dan beliau sebagai orang nombor dua akan memfokuskan untuk menangani kos sara hidup sebagai keutamaan pentadbiran kerajaan perpaduan.

“Dan kita lihat dalam tempoh sebulan ini juga, beberapa pengumuman dilakukan dan perubahan-perubahan diumumkan selepas setiap mesyuarat mingguan Kabinet. 

“Ini sudah tentu melegakan kebanyakan rakyat,” katanya lagi. –UTUSAN

The post Perdana Menteri arah tubuh Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan Kos Sara Hidup appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *