SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dan bersantai dengan penduduk sambil menikmati cendol di Kedai Cendol Songkok Tinggi, Kampung Jiboi Baru, Seremban di sini hari ini. 

Anwar yang memakai baju melayu berwarna hijau lembut tiba pada pukul 12.35 tengah hari disambut penduduk sekitar yang tidak melepaskan peluang bersalaman dan bertemu beliau secara lebih dekat. 

Turut hadir mengiringi beliau ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab.Malek.

Anwar dilihat meluangkan masa mencuba menu pilihan di kedai tersebut iaitu laksa Johor, jemput dan cendol.

ANWAR Ibrahim bergambar dan beramah mesra bersama penduduk selepas beliau hadir meluangkan masa di Kedai Cendol Songkok Tinggi Kampung Jiboi Baru, Ampangan, Seremban, hari ini.- UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Pengusaha Kedai Cendol Songkok Tinggi, Ahmad Dani Daud, 42, berkata, beliau teruja apabila kedainya menerima kunjungan daripada Anwar yang merupakan Perdana Menteri pertama datang ke memikmati cendol di sini.

“Saya terkejut dalam masa sama gembira apabila dihubungi oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri secara rasmi dua hari lalu memaklumkan bahawa Anwar Ibrahim mahu datang secara santai menikmati cendol di sini.

“Menariknya Cendol Songkok Tinggi ini mempunyai 12 jenis cendol dan pada mulanya hanya dibuka secara suka-suka bagi mengisi masa lapang sebelum kemudiannya ia menjadi sebutan mulut ke mulut,” katanya.

Jelas Ahmad Dani, pada mula Cendol Songkok Tinggi beroperasi secara katering pada tahun 2010 sebelum membuka kedai di Kampung Jiboi Baru ini sejak 2017.-UTUSAN.

The post Perdana Menteri luang masa nikmati Cendol Songkok Tinggi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *