KULIM: Gabungan-gabungan dan parti politik yang membentuk kerajaan perpaduan akan menandatangani satu perjanjian bersama pada minggu hadapan bagi memastikan kelancaran dan kestabilan pentadbiran negara.

Menteri Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, perjanjian yang bakal ‘mengikat’ Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak itu turut menggariskan prinsip-prinsip yang akan diguna pakai oleh kerajaan.

Menurutnya, perjanjian itu kini masih dalam proses menunggu maklum balas daripada beberapa parti yang lain sebelum ia akan ditandatangani secara terbuka dan dokumen berkenaan akan menjadi milik rakyat.

“Perjanjian ini sebenarnya (wujud) daripada hari pertama bila kerajaan perpaduan mula ditubuhkan. Memang persetujuannya adalah ia mesti diikat dengan perjanjian atas dua sebab, sudah tentu kita nak pastikan bahawa perjalanan itu akan berlaku dengan lancar.

“Maksudnya kuasa tidak dipusatkan sebab sebelum ini bila nak bentuk kerajaan selepas berlaku Langkah Sheraton yang dijanji macam-macam (tetapi) bila dah jadi kerajaan orang itu dipinggirkan, orang ini terpinggir sehingga menyebabkan keadaan tidak stabil,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Ceramah Mega Ayuh Malaysia Padang Serai, malam tadi.

Rafizi berkata, perjanjian itu juga untuk memastikan bagaimana mahu menguruskan perbezaan yang timbul dalam kalangan gabungan-gabungan yang ada agar ia ditakrifkan dengan jelas dan menggunakan mekanisme yang sebetulnya.

“Itu termasuk soal kewajipan setiap parti memastikan ahli-ahli Parlimen mereka mengundi dan menyokong kerajaan perpaduan dan kalau ada yang ingkar kepada undi itu, maka secara automatik dari sisi undang-undang anti lompat parti dia tergugur dan tak jadi ahli Parlimen lagi.

“Perkara itu ada keperluan untuk kita pastikan kelancaran pentadbiran, tapi yang lebih penting nak pastikan ada persamaan dari segi dasar. Kita tak nak contohnya gabungan-gabungan ini rakyat pun tahu (selama) 20 tahun bersengketa tiba-tiba jadi kerajaan (rakyat tertanya-tanya) agaknya apa dia nak buat kalau orang itu ke kiri atau orang ini ke kanan,” katanya.

Tambah beliau, antara perkara yang telah dirundingkan dalam perjanjian itu adalah prinsip asas yang akan menjadi rujukan atau rangka kepada segala program dijalankan kerajaan selepas ini.

“Maksudnya kalau kamu daripada PKR, segala keputusan (dibuat) mestilah dalam prinsip persetujuan ini (yang meliputi) soal pembahagian ekonomi, soal pendidikan, soal kedudukan orang Melayu dan menghormati hak-hak agama Islam.

“Jadi sebenarnya orang tahu (perkara dilakukan) ini yang telah dipersetujui supaya tidak timbul soal ahli politik berbincang sesama mereka di atas dan kita (rakyat) tidak tahu,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada perjanjian itu terpaksa diwujudkan kerana terdapat cubaan memancing ahli Parlimen berlaku, Rafizi memaklumkan beliau tidak boleh mengulas tentang itu. – UTUSAN

The post Perjanjian kerajaan perpaduan ditandatangani minggu depan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *