AMPANG: Pemerkasaan ekonomi, kemahiran keusahawanan dan pendidikan dalam kalangan penduduk di sini antara agenda utama penyandang kerusi Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin sekiranya berpeluang meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Dilantik (Designate President) Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu telah merangka pelbagai rancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk pengundi-pengundi di Ampang, dalam penjanaan ekonomi terutama bagi golongan berpendapatan rendah (B40), wanita dan golongan muda.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu merancang mewujudkan aktiviti-aktiviti keusahawanan yang lebih sistematik dan berstruktur supaya produk dihasilkan para usahawan boleh dikomersialkan dalam pasaran yang lebih luas.

ZURAIDA Kamaruddin menunjukkan poster calon nombor 4 bagi dirinya dan berharap pengundi tidak keliru ketika membuang undi 19 November ini.

Zuraida yakin sekiranya terdapat sistem lebih teratur dengan isi padu yang sesuai, mudah untuk usahawan menjadi ‘feeder’ kepada pemain-pemain industri berkaitan seperti industri coklat tempatan di negara ini.

“Ramai ibu termasuk ibu tunggal di sini yang mana kita akan membentuk satu muafakat wanita Ampang kerana ramai yang membuat kuih-muih dan pelbagai produk. Kita akan buatkannya lebih sistematik supaya boleh menjadikan produk mereka disalurkan ke mana-mana tempat untuk mereka jana pendapatan.

“Dalam kementerian saya ada menghasilkan produk coklat daripada koko. Jadi, kita ada program untuk melatih mereka. Coklat kita jual adalah coklat bar berharga RM20 untuk 2 kilogram. Jadi, dia akan cairkan coklat itu dan reka mengikut kehendak sendiri. Tetapi, kita akan ajar macam mana nak buat kemudian dikomersialkan.

“Coklat buatan Malaysia ini berkualiti, rasanya setanding coklat di luar negara cuma tiada pendedahan, namun sekarang, mereka boleh pasarkan. Oleh itu, saya mahu mereka diberi kursus khas untuk menghasilkan produk coklat tempatan,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama PBM di Pekan Ampang, di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Zuraida mahu menyediakan peluang pekerjaan yang lebih terjamin untuk golongan muda kerana mendapati masih ada daripada golongan itu terutama yang tercicir pelajaran menggunakan ‘jalan pintas’ mencari pendapatan membantu keluarga melalui ekonomi gig seperti Grab dan Foodpanda.

“Tidak mengapalah kerana mereka ada sikap membantu keluarga, tetapi, apakah program jangka panjang untuk mereka? Sebab itu saya mahu membuat satu organisasi yang mana kita dedahkan mereka dengan pelbagai maklumat, bagaimana bekerja separuh masa sambil belajar. Ini lebih baik daripada terus-menerus menjadi penghantar makanan,” katanya.

Justeru, Zuraida menyarankan supaya anak muda untuk menceburi bidang perladangan yang memberi jaminan pendapatan, kemudahan asas dan gaya hidup lebih sihat, berbanding bekerja di kawasan bandar.

Selain itu, beliau akan ‘merekrut’ dan menghantar anak muda di Ampang untuk bekerja dalam bidang komoditi di luar negara yang akan memberi pendedahan lebih luas serta menjadikan mereka lebih berdikari.

“Mereka patut mencari persekitaran pekerjaan lebih hijau, segar dan bersih dan bidang perladangan adalah yang terbaik. Namun, sekarang saya lihat pendedahan kepada anak muda asyik bekerja di bandar yang mana saya beritahu kawasan ini banyak pencemaran dan berlaku tekanan mental.

“Kerja di ladang juga tidak berat sebab dalam tempoh dua ke tiga tahun lagi, kita akan ada mekanisme baharu iaitu memakai dron untuk potong sawit. Sekarang kita masih guna tenaga kerja buruh. Bukan itu sahaja, malah industri getah dan kayu kayan pun saya sarankan. Jadi, sekarang anak muda kena keluar bekerja di sini. Jangan terkongkong di satu tempat sahaja,” katanya.

Dalam aspek pendidikan, beliau akan mengadakan lebih banyak program-program berasaskan kemahiran memandangkan Ampang mempunyai Kolej Komuniti yang di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

“Saya banyak memberi sumbangan dan terlibat dalam program-program di Kolej Komuniti di sini. Mereka dilatih untuk mengasah bakat dan kemahiran mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, selaras nama partinya, Zuraida menggesa supaya isu perkauman dihentikan dan PBM mahu menjadi pencetus penyatuan semua kaum serta bangsa di negara ini.

“Sudah 65 tahun negara mereka, isu kaum tidak patut menjadi isu dan kita sepatutnya bercakap tentang satu bangsa iaitu bangsa Malaysia. Bersama-sama memajukan negara, melihat imej dan kepentingan negara tanpa mengira perbezaan latar belakang.

“Lebih-lebih lagi kita pernah berdepan krisis pandemik Covid-19, ekonomi jatuh, masalah inflasi dan ketidakstabilan politik. Jadi, rakyat kena bersama menyemai perasaan patriotik dan menggarap lima prinsip Rukun Negara. Insya-Allah, Malaysia boleh maju,” katanya. – UTUSAN

The post Perkasa ekonomi, keusahawanan dan pendidikan agenda utama Zuraida appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *