JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah meminta kerajaan meneliti dan memperbaiki kelemahan sistem pihak berkuasa berkaitan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak di negara ini.

Baginda bertitah, kelemahan tersebut turut menyebabkan kurangnya keyakinan masyarakat terhadap kemampuan pihak berkuasa sama ada tindakan susulan dibuat berkesan atau tidak dalam memastikan persekitaran yang baik bagi melindungi mangsa.

“Di manakah kelemahan dalam sistem kita sehingga penderaan yang begitu dahsyat seperti kes Allahyarham Lokman boleh berlaku. Mungkin ada pelbagai faktor, namun di sinilah peranan yang perlu dimainkan oleh pihak berkuasa bagi memperbaiki situasi ini.

“Mungkin ramai dalam kalangan rakyat yang tidak menyedari saluran yang sepatutnya mereka gunakan dalam kes-kes melibatkan kanak-kanak.

“Terdapat juga isu defisit kepercayaan ke atas keberkesanan laporan yang diutarakan kepada pihak berkuasa, sama ada tindakan susulan mereka berkesan atau tidak dalam memastikan persekitaran yang sebaiknya bagi melindungi mangsa, titah baginda dalam satu kenyataan, selepas menerima menghadap beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Istana Polo, Pasir Pelangi, di sini hari ini.

Raja Zarith turut terkenang kes penderaan yang dilaporkan berlaku sebelum ini seperti melibatkan Allahyarhamah Nurul Huda Abdul Ghani pada tahun 2004 dan Allahyarhamah Nurul Nadirah Abdullah (Dirang) pada 2012.

“Kes Allahyarham Lokman ini mengingatkan saya kepada kepiluan dan kesedihan tragedi lalu seperti yang berlaku kepada mereka.

“Akta Kanak-Kanak perlu diperkukuh dengan peruntukan perundangan supaya tindakan yang lebih proaktif dan agresif boleh diambil. Salah satu perkara utama yang mesti diberi perhatian adalah peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang perlu dikemas kini untuk perkhidmatan yang lebih berkesan.

“JKM pada masa kini amat terbeban dengan aduan keluarga yang memerlukan bantuan, termasuk ketika bencana seperti banjir atau kebakaran rumah. Mungkin sebuah jabatan kerajaan khas boleh ditubuhkan khusus untuk menangani isu kanak-kanak termasuk penderaan, buli di sekolah dan lain-lain,” titah baginda. – UTUSAN

The post Perlu ada jabatan khas tangani dera kanak-kanak – Raja Zarith appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *