PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) menggariskan lima hala tuju dan fokus utama pada tahun ini bagi menjamin agenda keterjaminan makanan negara.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, antaranya memperkasakan industri akuakultur dengan menyasarkan peningkatan hasil ikan daripada aktiviti akuakultur kepada 60 peratus.

Beliau berkata, fokus lain ialah memperluaskan penternakan lembu secara fidlot bagi memenuhi keperluan bekalan daging tempatan dan eksport supaya sasaran pengeluaran daging tempatan akan dapat ditingkatkan kepada 50 peratus menjelang 2025.

“Kementerian juga akan mememulakan usaha penanaman jagung bijian bagi mengurangkan 30 peratus daripada pergantungan import.

“MAFS juga akan memberi fokus kepada meningkatkan penglibatan belia dalam sektor agromakanan dan pertanian pintar selaras dengan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

“Fokus terakhir adalah memperkasakan institut latihan pertanian dalam misi melahirkan graduan berkualiti tinggi dalam bidang teknologi pertanian, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pertanian moden,” katanya ketika berucap pad Majlis Amanat Tahun 2023 MAFS di sini hari ini.

Katanya, beliau berharap lima hala tuju itu dapat disokong dengan perubahan sikap dan mentaliti yang ditonjolkan oleh warga kementerian dan golongan sasar.

Mohamad berkata, warga MAFS juga diseru untuk meneruskan amalan budaya berintegriti tinggi, amanah dan cekap yang merupakan etika kerja sangat penting kepada pencapaian hasil kerja berkualiti tinggi.

Katanya, sebelum ini, beliau diamanahkan untuk menjaga keselamatan negara selaku Menteri Pertahanan dan kini saya diamanahkan pula untuk menjaga keterjaminan makanan yang dianggap lebih mencabar.

“Bagi saya, tugas sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan lebih mencabar kerana rakyat boleh hidup tanpa peluru tetapi rakyat tidak boleh hidup tanpa makanan,” katanya.

Katanya, ketika ini, kedudukan tahap keterjaminan makanan di Malaysia masih stabil disokong pemberian pelbagai jenis subsidi dan peningkatan import untuk memastikan kecukupan bekalan makanan.

Jelasnya lagi, berdasarkan trend pengeluaran dan import semasa, MAFS yakin bahawa bekalan makanan dalam negara mencukupi bagi menampung keperluan domestik untuk lapan komoditi utama iaitu ayam, daging, susu segar, telur, ikan, buah, sayur dan beras. – UTUSAN

The post Perluas ternak lembu fidlot antara fokus MAFS 2023 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *