PUTRAJAYA: Malaysia sedang mengambil tindakan untuk mencabar perintah Exequatur yang dikeluarkan secara ex-parte ke atas tuntutan individu mendakwa waris Sultan Sulu di Mahkamah Rayuan Luxembourg.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman, ia susulan kerajaan Malaysia dengan serta-merta memohon kepada mahkamah di negara itu untuk mendapatkan relif interim.

Langkah berkenaan ekoran sebuah mahkamah di Luxembourg pada 24 Januari lalu mengeluarkan keputusan bagi melepaskan penahanan yang dipohon pada 11 Julai 2022.

Perintah penahanan berasaskan ‘Final Award’ dan ‘Preliminary Award’ itu dikemukakan beberapa individu yang mendakwa mereka kononnya sebagai waris kepada Sultan Sulu.

Ia dikeluarkan penimbang tara, Dr. Gonzalo Stampa tahun lepas masing-masing pada 28 Februari dan 25 Mei 2022 lalu yang mengiktiraf award dikatakan tersebut di Luxembourg.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, Malaysia sudah dengan serta-merta bertindak dan sesi pendengaran permohonan itu berlangsung pada 5 Disember lalu di negara tersebut.

“Mahkamah Luxembourg sudah menerima hujahan pihak kerajaan Malaysia bahawa penuntut itu dengan sengaja tidak pernah mendedahkan alamat sebenarnya,” jelas beliau dalam kenyataan hari ini.

Sedangkan, tindakan mereka itu sesuatu yang penting serta menghalang penyampaian dokumen dan penguatkuasaan keputusan yang mungkin akan dikeluarkan.

Menurut mahkamah lagi, tindakan penuntut tersebut pula, ujar beliau, adalah suatu bentuk kesusahan yang jelas dan boleh menjejaskan tindakan susulan daripada pihak Malaysia.

Penuntut secara konsisten menggunakan tipu daya dalam tuntutan mereka terhadap Malaysia dan oleh itu tidak mengejutkan permohonan penuntut gagal di peringkat awal.

Kerajaan Malaysia tegas Azalina, tidak akan berhenti berusaha untuk melindungi dan memelihara kepentingan serta kekebalan kedaulatan Malaysia pada sepanjang masa, malah terus mengambil tindakan perlu bagi menghentikan segala tuntutan palsu daripada penuntut berkenaan. – UTUSAN

The post Permohonan cabar tuntutan waris Sulu di Mahkamah Rayuan Luxembourg appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *