IPOH: Seramai 100,656 atau 88 peratus pelajar Islam di sekolah kebangsaan di negeri ini menyertai Kelas Asas Fardu Ain (KAFA).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagi daerah Kerian, daripada 10,150 pelajar Islam, seramai 8,825 orang atau 85 peratus menyertai institusi pendidikan itu.

“Di Perak, daripada 114,377 orang pelajar Muslim di sekolah kebangsaan, sebanyak 100,656 orang atau 88 peratus menyertai sekolah KAFA,” katanya ketika menjawab soalan lisan Sallehuddin Abdullah (Pas-Selinsing) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, bagi memastikan tiada murid tercicir daripada menyertai kelas KAFA, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif seperti mewujudkan lima kelas KAFA tulen yang dilaksanakan di sekolah-sekolah kebangsaan terpilih.

Katanya, sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Selama, SK Ulu Slim, SK Ganda Teluk Intan, SK Dato’ Sagor, Kampong Gajah dan SK Sungai Ramai, Ayer Tawar.

“Inisiatif lain yang dilakukan ialah mengiktiraf sijil Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan Sijil Rendah Agama Islam (SRAI) sebagai syarat utama permohonan kemasukan ke tingkatan satu Sekolah Menengah Agama Negeri.

“Selain itu, kerajaan negeri turut melaksanakan kempen kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat melalui pelbagai medium untuk mewujudkan kesedaran kepentingan pendidikan KAFA kepada anak-anak,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga menyalurkan peruntukan untuk penyelenggaraan dan naik taraf sekolah-sekolah KAFA yang disalurkan melalui peruntukan khas menteri besar dan peruntukan pelbagai projek di pejabat daerah.

“Pelbagai agensi lain turut menyalurkan bantuan seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pendidikan,” katanya. – UTUSAN

The post Persidangan DUN Perak: 88 peratus pelajar sekolah sertai KAFA appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *