PETALING JAYA: Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang menganjurkan pertandingan Video Parodi Terbaik daripada babak naskhah itu dengan tawaran hadiah wang tunai, selain ganjaran istimewa sebagai pemenang bertuah.

Pertandingan yang dianjurkan sempena cuti persekolahan itu merupakan usaha menarik lebih ramai golongan pelajar menonton filem yang sarat dengan mesej patriotik, selain mengisi masa dengan aktiviti berfaedah.

Selaku pengedar filem itu, Metrowealth International Group memaklumkan, pertandingan itu terbuka kepada warganegara Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa dalam melahirkan individu yang memiliki idea dan daya kreatif tersendiri.

“Objektif penganjuran pertandingan ini adalah memupuk minat dan kreativiti masyarakat menerusi filem tempatan yang bersifat patriotik dan memiliki perasaan cintakan negara.

“Selain itu, ia bertujuan mencungkil bakat penghasilan produk multimedia yang sarat nilai murni serta memberi peluang kepada masyarakat memahami tugas anggota penguat kuasa.

“Pada masa sama, kami juga ingin mengajak kakitangan dan agensi kerajaan lain untuk turut serta membantu menyokong filem ini,” katanya menerusi kenyataan.

Tarikh tutup penyertaan dilanjutkan sehingga 28 Februari ini.

Filem genre aksi itu merupakan sentuhan terakhir Allahyarham Pitt Hanif yang sarat dengan aksi mendebarkan dan pasti menyentuh emosi penonton.

Naskhah yang memaparkan aksi unit beruniform Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam menjaga keselamatan perairan negara itu diterbitkan Flying Deals Sdn. Bhd. dan Arie Zaharie Production.

Ia menampilkan gandingan hebat Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin selaku teraju utama, selain Adlin Aman Ramlee, Datuk Fizz Fairuz, Sabri Yunus, Kodi Rasheed, Gambit Saifullah, Aziz M Osman
dan Sherie Merlis.

Filem yang menyasarkan kutipan RM20 juta itu ditayangkan di semua pawagam seluruh negara sejak 2 Februari lalu, serentak di Singapura serta Brunei Darussalam.

The post Pertandingan Video Parodi Terbaik Coast Guard hargai kreativiti penonton appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *